Berita UtamaDunia

Taliban rampas bandar besar di Afghanistan utara

Tentera negara menyerah, sebabkan militan pro-kerajaan hilang semangat

KABUL, 6 Muharram 1443H, Ahad – Kumpulan militan Taliban telah merampas bandar besar di Afghanistan utara, dan sedang menghampiri ibu negara, kurang dari tiga minggu sebelum Amerika Syarikat (AS) menyelesaikan isu penarikan tenteranya.

Mazar-i-Sharif, bandar terbesar keempat di negara itu, dilaporkan jatuh di bawah kawalan Taliban.

Pasukan keselamatan dari Mazar-i-Sharif pula melarikan diri ke arah sempadan, kata ketua dewan wilayah Balkh, Afzal Hadid, kepada agensi berita Reuters.

“Taliban telah menguasai Mazar-i-Sharif. Semua pasukan keselamatan telah meninggalkan kota Mazar. 

“Bandar itu nampaknya telah jatuh tanpa pertempuran, walaupun pertempuran sporadik masih berlaku,” katanya.

Seorang Ahli Parlimen dari wilayah Balkh, Abas Ebrahimzada membetitahu agensi berita The Associated Press bahawa tentera negara menyerah terlebih dahulu, yang menyebabkan militan pro-pemerintah dan pasukan lain kehilangan semangat dan menyerah dalam menghadapi serangan Taliban yang dilancarkan lebih awal pada hari Sabtu.

Ebrahimzada mengatakan Abdul Rashid Dostum dan Ata Mohammad Noor – bekas orang kuat yang memerintah ribuan pejuang – telah melarikan diri dari wilayah itu dan lokasi mereka tidak diketahui.

Taliban telah membuat gerakan besar dalam beberapa hari terakhir, termasuk merampas Herat dan Kandahar, bandar kedua dan ketiga terbesar di negara ini.  

Kini ia telah menguasai sekitar 22 dari 34 wilayah Afghanistan sejak 6 Ogos, meninggalkan kerajaan yang disokong Barat dengan sejumlah besar wilayah di tengah dan timur, serta ibu negara, Kabul.

Presiden AS, Joe Biden pada hari Sabtu meningkatkan jumlah tentera Amerika yang dihantar ke Afghanistan untuk membantu memindahkan pegawai kedutaan dan orang awam Afghanistan, dan memberi amaran kepada Taliban, yang menuju ke Kabul, untuk tidak menghalang misi tersebut.

Setelah berunding dengan pasukan keselamatan kebangsaan, Biden mengatakan sejumlah kira-kira 5,000 tentera AS – dari 3,000 – kini dikerahkan untuk mengatur pemindahan dan mengakhirkan misi AS setelah 20 tahun di lapangan.

Pada hari Sabtu, Taliban menawan seluruh wilayah Logar, di selatan Kabul, dan menahan pegawai tempatan, kata Hoda Ahmadi, seorang Ahli Parlimen dari wilayah itu.  

Dia mengatakan Taliban telah sampai di daerah Char Asyab, hanya 11km (7 batu) di selatan ibu negara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button