Berita Utama

Wujud SD sokong Ismail Sabri sebagai PM?

Pertemuan beberapa pemimpin UMNO-Bersatu petang ini?

BANGI, 6 Muharram 1443H, Ahad – Susulan desas-desus Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan esok, timbul pula spekulasi mengatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Ini berikutan pertemuan beberapa pemimpin kanan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Pertemuan itu kononnya dilaporkan bagi mengumpulkan surat akuan bersumpah (SD) untuk mendapatkan sokongan majoriti membentuk kerajaan.

Media melaporkan, kelibat Ismail Sabri – yang juga Naib Presiden UMNO – dilihat memasuki Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Selain itu, difahamkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut berada di hotel berkenaan.

Portal The Vibes melaporkan, satu gerakan mengumpul SD sedang dilakukan untuk menyokong Ismail Sabri – yang juga Ahli Parlimen Bera – sebagai Perdana Menteri.

Laporan yang sama menyebut, SD itu turut menyokong Hamzah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Pertemuan di Royal Chulan selepas Muhyiddin meluahkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu.

Beliau dijangka menghantar surat peletakan jawatan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, esok.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button