Berita UtamaIstimewa

Agong lantik Muhyiddin PM ‘caretaker’

Pelaksanaan PRU-15 bukan pilihan terbaik atas faktor keselamatan rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Muharram 1443H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah ‘Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah berkenan menerima surat peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta berkuat kuasa, hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Mahiaddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Katanya, ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19.

“Selaku Ketua Utama Negara, Seri Paduka Baginda memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara dan juga menghormati apa-apa keputusan yang dibuat Mahiaddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Daam pada itu, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa sehingga 10 Ogos, 2021, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19. 

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka Baginda, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button