Uncategorized

Rakyat perlu bangkit menolak pemimpin bedebah dan gila kuasa

Ingat! Pemimpin adalah amanah yang akan dipersoalkan Allah SWT di akhirat nanti

APA erti demokrasi ketika rakyat susah, pemimpin sibuk bermesyuarat tentang kuasa, merebut kuasa, jatuh-menjatuh dan guling-mengguling. Ultra kiasu bertepuk tangan. Mereka telah berjaya melaga-lagakan kita semua.

Ketika saya belajar Sains Politik dahulu, saya diajar tentang tentang sistem demokrasi, bermaksud, demos dan kratos bermaksud pemerintahan rakyat. Kerajaan daripada rakyat kepada rakyat, untuk rakyat.

Itulah kata-kata keramat yang tidak dapat dilupakan. Bermakna, rakyat adalah segala-galanya, kerana wujudnya pemimpin itu kerana adanya rakyat. Rakyat yang memilih pemimpin untuk mewakilinya. Justeru, rakyat sangat berharap, apabila pemimpin dipilih, maka pemimpin akan menjalankan tanggungjawabnya, menjaga kerajaan dengan baik demi rakyat.

Dalam kata lain, apapun yang berlaku, rakyat mesti diutamakan. Rakyat mesti dijaga. Kebajikan rakyat terjamin, kerana kedaulatan itu datang daripada rakyat. Termasuk raja, daulat itu datang daripada rakyat.

Malangnya, ketika rakyat tersepit dan terhimpit akibat pandemik COVID-19 ini, pemimpin sibuk berebut kuasa. Sibuk mencari calon Perdana Menteri. Sibuk ke sana ke sini, melobi sana sini. Keadaan sangat tidak menentu. Negara jadi haru biru. Ini pemimpin bedebah maknanya. Sudah gila. Gila kuasa.

Sepatutnya semua pemimpin sibuk untuk memerangi wabak COVID-19, bagi memastikan rakyat berdIri teguh, ekonomi negara kukuh. Malang sekali, perjumpaan atau mesyuarat sesama mereka, sibuk dengan siapa yang akan berkuasa dan mendapat kuasa. Kuasa…kuasa…kuasa. Gila kuasa.

Saya tidak nampak penyelesaiannya. Sekiranya digantikan Perdana Menteri, pasti akan pihak yang tidak akan berpuas hati. Pasti akan terjadi perkara yang sama. Jatuh menjatuh, guling mengguling.

Kegilaan seperti ini dibanteras. Rakyat mesti ajar pemimpin sebegini.

Saya mohon, bubarkanlah Parlimen dengan segera. Lakukan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan segera. Itu sahaja cara untuk rakyat merasa aman.

Buatlah SOP yang macam mana sekalipun bagi memastikan wabak COVID-19 tidak merebak ketika PRU berlaku nanti. Pastikan pemimpin bedebah dan gila kuasa tidak menang lagi.

Ciri-ciri pemimpin bedebah dan gila kuasa.

Pertama, biasanya mereka ini korup. Untuk menutup korupsinya maka tidak ada cara melalui dengan kuasa.

Kedua, suka menyebarkan fitnah bagi menjatuhkan lawannya. Ini kerana masing-masing ghairah dan bercita-cita kepada habuan serta imbuhan yang akan diperoleh.

Ketiga, sanggup lakukan apa sahaja, termasuk meminta bantuan mereka yang anti-Islam, seperti ultra kiasu. Ultra kiasu akan menggunakan sepenuh ruang dan peluang ini untuk memastikan Melayu terus berpecah.

Keempat, pemimpin yang gila kuasa ini akan mengaburi mata rakyat dengan cerita kejayaan mereka sebelum itu. Kononnya, merekalah yang pandai menguruskan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat. Walhal mereka yang paling banyak menggadaikan harta dan maruah rakyat.

Kelima, pemimpin gila kuasa ini, sentiasa berubah wajah, kejap baik, kejap hipokrit, kejap alim, kejap zalim, kejap berkopiah/bersongkok, kejap lagi bertopi sikh, kejap ke masjid, kejap lagi ke kuil, kejap berjubah, kejap berseluar pendek, kejap berkain, kejap berjoget. Semua bertujuan bagi mengaburi mata rakyat, bahawa mereka boleh masuk dalam semua golongan. Sehinggakan sanggup berpakaian menyerupai bukan Islam. Walhal itu semua tipu daya. Gara-gara mahu dapatkan undi untuk berkuasa.

Keenam, pemimpin gila kuasa sudah tidak peduli lagi bahawa mereka sebenarnya sudah memberi bola tanggung kepada ultra kiasu. Ultra kiasu tidak lagi perlu berbuat apa-apa. Mereka telah berjaya memecahbelahkan umat Islam, dengan berpeluk tubuh sahaja. Siapa untung, siapa rugi

Inilah antara beberapa ciri pemimpin bedebah dan gila kuasa.

Sejarah membuktikan Baginda Rasulullah SAW sama sekali tidak melayan permintaan para sahabat terhadap sesuatu jawatan.

Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang diminta untuk menguruskan hal-ehwal rakyat dengan baik, bukannya mereka yang menawarkan dirinya untuk menjadi pemimpin.

Sudah hilangkah rasa malu kita? Terhegeh-hegeh menonjolkan diri, kononnya dialah yang terbaik untuk menjadi pemimpin negara ini. Sedangkan latar belakangnya amat mengjengkelkan?

Apakah kita sudah lupa pesanan Baginda Rasulullah SAW, apabila dua orang lelaki bertemu Baginda dan meminta daripada Baginda supaya diberikan kuasa sebagai pemimpin. Lalu Baginda menegur mereka lantas berkata:

“Kami tidak memberikan urusan kepimpinan ini kepada siapa yang memintanya, kami juga tidak berikan kepimpinan buat mereka yang terlalu bersungguh mendapatkannya.” (Riwayat Bukhari)

Dalam kata lain, mereka yang gila kuasa tidak akan mendapat pertolongan manusia dan sudah pasti jauh daripada rahmatNya.

Ingat nasihati Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Abd Rahman Samurah:

“Wahai Abd Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu dan jika engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam krisis politik hari ini, kita boleh lihat dengan jelas apa yang dilakukan oleh pemimpin bedebah dan gila kuasa. Sanggup lakukan apa sahaja meskipun terpaksa mengkhianati amanah rakyat. Matlamat menghalalkan cara.

Kegilaan dan ketamakan kuasa menyebabkan mereka tidak lagi mempedulikan apa yang akan berlaku kepada rakyat, yang penting nafsu serakah tercapai.

Keadaan negara kini tidak semakin baik tetapi semakin buruk. Mereka yang mahu menjatuhkan selalu mencanangkan keadaan akan menjadi lebih baik jika mereka memerintah? Ekonomi akan mencanak naik selepas itu? Benarkah?

Apa jaminannya? Siapa yang boleh memberikan jaminan wabak COVID-19 akan menurun jika kepimpinan bertukar?

Justeru, sudah sampainya rakyat diberikan semua kuasa untuk memilih pemimpin yang bukan dalam kalangan bedebah dan gila kuasa.

Islam sentiasa mengajar kita memilih pemimpin yang mempunyai integiti, jujur, amanah, tidak gila kuasa dan sentiasa mementingkan rakyat.

Rakyat hendaklah menolak pemimpin jika sudah terbukti seseorang terpalit dengan salah guna kuasa, salah laku, dan tidak berintegriti.

Ingat pesan Baginda Nabi SAW sangat menekan integriti dan moral sebagai salah satu sifat utama seorang pemimpin.

“Sesungguhnya akan ada dalam kalangan kamu yang bersungguh-sungguh gilakan kepimpinan sedangkan ia akan menjadi satu penyesalan di hari kiamat.” (Riwayat al-Bukhari).

Kepada mereka yang bergelar pemimpin terutama Ahli Parlimen, ingat pesan ini, kamu yang gila kuasa pasti akan menyesal di akhirat kelak.

Ingatlah! kepimpinan adalah tanggungjawab yang besar. Setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas yang dipimpin. Pemimpin dan yang dipimpin itu adalah suatu amanah yang pastinya akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti. Kamu pasti akan menyesal nanti, ketika itu sudah terlambat.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button