Berita Utama

Ada pihak rakus rebut kuasa daripada utamakan nyawa rakyat

'Saya telah ikhtiar hingga saat akhir': Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 7 Muharram 1443H, Isnin – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik COVID-19, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata ikhtiar itu tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.

Katanya beliau telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong disebabkan kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin berkata walaupun beliau pada awalnya mencadangkan supaya keabsahannya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun 15 Ahli Parlimen UMNO telah menarik sokongan, manakala cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan ditolak oleh parti pembangkang.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Muhyiddin berkata beliau memimpin negara dalam keadaan krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan pada masa sama digugat dari segi politik.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Katanya beliau boleh mengambil jalan mudah dengan mengorbankan prinsip untuk kekal sebagai Perdana Menteri, namun ia bukan pilihannya.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa.

Dalam perutusan khas itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan memohon ampun kepada semua atas segala kekhilafan dan kelemahan sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Katanya beliau dan rakan-rakan Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat dalam tempoh krisis yang masih dihadapi pada masa ini.

“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi pandemik COVID-19 selain pengurusan tertinggi dan penjawat awam yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar-dasar diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak industri, para pekerja, pertubuhan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat dan semua pihak yang membantu kerajaan menyampaikan khidmat kepada rakyat selain kepimpinan parti-parti politik PN.

“Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini,” katanya.

Sambil mengucapkan terima kasih buat seluruh rakyat Malaysia, Muhyiddin berkata beliau akan terus berbakti dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan semua.

“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button