Berita Utama

Annuar Musa mohon maaf kekurangan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan

‘Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi daripada kesilapan’

BANGI, 7 Muharram 1443H, Isnin – Tan Sri Annuar Musa memohon maaf atas segala kelemahan sepanjang perkhidmatannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam hantaran di laman Facebook, Annuar berkata, beliau mengakui sedar kekurangannya kerana hanya seorang insan biasa.

“Saya amat faham dan sedar akan kekurangan saya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Saya insan biasa yang tentunya tidak sunyi daripada kesilapan. 

“Oleh itu saya memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan, kelemahan dan kekurangan saya selama berkhidmat,” katanya, hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau juga kekal tenang dan berlapang dada dengan segala keputusan susulan pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Yang di-Pertuang Agong, tengah hari tadi.

“Semua keputusan secara bersama. Yang penting kita sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang dan Perlembagaan negara.

“Asas pertimbangan paling utama adalah kesejahteraan rakyat. Kepada rakyat kita berkhidmat hingga ke garis penamat,” katanya.

Beliau turut mendoakan kesejahteraan yang berkekalan buat semua warga Wilayah Persekutuan. 

“Semoga semua warga WP tanpa mengira kaum atau agama serta status kehidupan mesti terus dijaga dan dipelihara.

“Semoga warga WP dilindungi Allah SWT, dikurnia ketahanan dan imuniti menghadapi penularan virus COVID-19 dan lainnya. Semoga kehidupan ekonomi, sosial dan keselamatan WP terus pulih,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button