Berita Utama

Buktikan SD mungkin pendekatan diambil Agong selesai kemelut

Hanya pilihan raya jadi penyelesaian untuk jangka panjang

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 7 Muharram 1443H, Isnin – Peristiwa Februari tahun lalu berulang kembali apabila landskap politik negara sekali lagi digegarkan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.

Ini susulan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya bersama Jemaah Menteri lain dalam Perikatan Nasional, selepas beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Peristiwa sama juga pernah berlaku pada 24 Februari 2020, apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan langkah mengejutnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menyorot semula peristiwa itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli Dewan Rakyat untuk menilai sokongan dan kepercayaan mereka.

Seri Paduka kemudian menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang wakil sebagai bakal Perdana Menteri dan berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti politik mengemukakan pencalonan mereka supaya dapat perhitungan demokrasi.

Melihat kepada situasi itu, penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pendekatan sama juga mungkin akan diambil oleh Yang di-Pertuan Agong, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku.

“Dalam konteks yang diputuskan hari ini, saya berpandangan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong tidak prefer cara lain melainkan seperti tahun lepas, iaitu melantik Perdana Menteri ‘caretaker’ dan kemudian memutuskan siapa yang sesuai dilantik bagi yang ada sokongan majoriti.

“Dan proses itu mungkin berlaku sama seperti tahun lalu, di mana kumpulan-kumpulan yang kata mereka ada majoriti dan menunjukkan ada sokongan serta sebagainya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong akan memanggil setiap ahli Dewan Rakyat untuk bertanyakan keputusan dan sokongan mereka.

“Setelah dilantik, mungkin kita akan memohon atau meminta supaya PM baharu itu membuka sidang Parlimen dan mengemukakan usul undi percaya untuk sahkan sokongan.

“Itu mungkin cara yang boleh difikirkan dan sekurang-kurangnya dapat menyelesaikan kemelut sementara,” katanya.

Bagaimanapun, Prof Nik Ahmad Kamal mengakui langkah ini bukan bersifat jangka panjang kerana pembentukan kerajaan melalui akuan bersumpah (SD) tidak akan mengekalkan kestabilan sesuatu pemerintahan.

“Dalam keadaan sekarang mungkin berlaku tawar-menawar dan sebagainya. Itu saya rasa boleh berlaku dan itu yang kita tak mahu.

“Tetapi untuk jangka pendek kita perlu ada juga kerajaan kerana untuk pastikan pelan pemulihan, pelan ekonomi, isu pandemik, vaksin ada yang membuat keputusan.

“Namun, bagi jangka panjangnya kita perlu juga adakan pilihan raya kerana PRU adalah satu penyelesaian yang lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button