Berita UtamaDunia

Hamas gesa rakyat teruskan tunjuk perasaan terhadap penjajahan Israel

Pihak berkuasa Israel mahu jadikan Eviatar sebagai pangkalan tentera

GAZA, 7 Muharram 1443H, Isnin – Pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) meminta rakyat Palestin di Tebing Barat mengadakan lebih banyak tunjuk perasaan pada waktu malam terhadap penjajahan Israel.

Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh membuat seruan itu dalam satu kenyataan yang menandakan 100 hari sejak bermulanya tunjuk perasaan di bandar Beita terhadap pendudukan haram Israel di Gunung Sobeih.

Sejak Mei, bandar itu menyaksikan pertembungan sengit antara pasukan Israel dan Palestin yang melakukan demonstrasi menentang penempatan haram di Eviatar yang didirikan di bukit oleh peneroka Israel di bawah perlindungan tentera.

Haniyeh menggesa semua penduduk Palestin di Tebing Barat untuk bangkit dan berkumpul bersama penduduk di Beita dan mengubah semua kawasan konfrontasi popular dengan pasukan Israel menjadi tempat tunjuk perasaan pada waktu malam, lapor Pusat Maklumat Palestin.

“Penglibatan penduduk kampung Beita di Nablus dalam pemberontakan mereka selama 100 hari mencerminkan kesedaran kebangsaan tentang perlunya menghadapi pasukan pendudukan dan projek pembinaan haram serta mencerminkan kemampuan rakyat Palestin untuk mempraktikkan dan memperjuangkan hak mereka,” kata Haniyeh.

Haniyeh turut memuji penduduk Beita kerana mempertahankan tanah dan berkorban untuk hak-hak kebangsaan bagi pihak seluruh rakyat Palestin.

Pihak berkuasa Israel kini telah memutuskan untuk menjadikan Eviatar sebagai pangkalan tentera.  

Namun, penduduk Beita menolak keputusan itu dan berjanji akan meneruskan tunjuk perasaan sehingga penghapusan sepenuhnya penempatan haram tersebut.

Lebih daripada 600,000 warga Israel tinggal di lebih 230 penempatan haram yang dibina sejak penjajahan 1967 di wilayah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

Semua penempatan Israel tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa.  

Malah, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengutuk kegiatan penempatan haram Israel di wilayah jajahan dalam beberapa resolusi.

Rakyat Palestin menginginkan Tebing Barat sebagai sebahagian daripada negara Palestin yang merdeka di masa depan dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button