Berita UtamaIstimewa

Ini sebab kenapa BERJASA bersama GTA

Pernah ‘risik’ dua parti utama tapi pintu rundingan tak dibuka

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim mendedahkan pihaknya pernah merisik dua parti utama negara untuk bekerjasama membangun negara, namun tidak dilayan.

Keadaan tersebut memberi peluang kepada BERJASA untuk bersama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya.

“Kenapa BERJASA bersama dengan GTA ramai yang tidak tahu, apabila saya diberi amanah sebagai Presiden, saya telah berhubung dengan Bersatu dan masa itu Presidennya adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan surat yang diutuskan untuk bertemu tidak dibuka untuk BERJASA masuk berbincang membawa agenda negara membangunkan negara,” katanya.

Bagaimanapun kongsi Ustaz Zamani, BERJASA tidak berputus asa dan kemudian cuba merisik PAS pula untuk membawa agenda yang sama.

Beliau bersama Jawatankuasa Pusat BERJASA menghantar dua pucuk surat kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan dua pucuk surat lagi kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Malah, pihaknya turut menghantar wakil yang boleh berbincang menerangkan agenda BERJASA.

“Kami nak buktikan bahawa BERJASA serius untuk membina negara ini tetapi pintu rundingan tidak dibuka,” katanya.

Situasi tersebut menyebabkan pihaknya mengambil peluang menerima GTA yang mempunyai agenda sama untuk bangkit membina semula negara.

GTA dianggotai empat parti iaitu Pejuang, BERJASA, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bahkan, gerakan itu juga terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta golongan profesional dalam kalangan Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button