Berita Utama

KDN jamin keselamatan dan ketenteraman awam

Tanggungjawab sebagai barisan hadapan tangani COVID-19 akan terus dilaksanakan

UTRAJAYA, 7 Muharram 1443H, Isnin – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tetap memainkan peranannya menjamin keselamatan dan ketenteraman awam dalam keadaan semasa negara, kata Ketua Setiausahanya Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata tanggungjawab sebagai barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19 juga akan terus dilaksanakan terutamanya dalam menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau KDN termasuk jabatan dan agensi di bawahnya akan sentiasa melaksanakan tugas sebagai penjawat awam yang profesional bagi memastikan segala pengurusan dan pentadbiran berjalan lancar dan tidak terganggu.

“Warga KDN akan sentiasa memastikan peranan yang telah dipertanggungjawabkan terus dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini mengenai pengoperasian perkhidmatan KDN.

Beliau berkata semua perancangan, operasi dan perkhidmatan di bawah kementerian seperti penguatkuasaan dasar keselamatan, pelaksanaan projek pembangunan, program vaksinasi dan program Pelan Pemulihan Negara sentiasa dipastikan berjalan lancar seperti yang ditetapkan.

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan petang ini berkata perkhidmatan awam tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara.

Menurutnya penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button