Berita Utama

PAS disyor calonkan Annuar Musa di PRK Kuala Terengganu

Tempat 'pahlawan' baharu bukan di liga kampung

BANGI, 20 Zulhijjah 1444H, Ahad – UMNO Bahagian Ketereh mengesyorkan PAS meletakkan kedudukan yang lebih strategik kepada ‘pahlawan’ baharunya, Tan Sri Annuar Musa untuk ‘berperang’ bagi pihak parti itu di Dewan Rakyat.

Ketua Penerangannya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, kedudukan ini bukan sahaja sesuai dan layak untuk Annuar Musa, bahkan bakal memberi kelebihan kepada PAS dalam Dewan Rakyat.

“Satu-satunya peluang yang ada untuk PAS membuktikan setia kawan kepada pahlawan barunya ini adalah dengan memberi peluang Annuar Musa bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu sebagai tiket beliau ke Dewan Rakyat.

“PAS sewajarnya menggunakan sepenuhnya peluang pada malam ini (semalam) ketika Jelajah Mega PN Best di Kuala Terengganu, untuk memperkenalkan Annuar Musa sebagai calon PAS kepada pengundi-pengundi Kuala Terengganu.

“Itupun jika parti PAS benar-benar ikhlas menyucikan dosa Annuar Musa yang lama dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, sejak menjadi ahli PAS, Annuar Musa telah diarak oleh parti itu ke hulu-hilir menjadi penceramah untuk menyerang Kerajaan Perpaduan terutamanya UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Nik Saiful bagaimanapun mengakui bekas Ahli Parlimen Ketereh itu diiktiraf oleh semua parti sebagai seorang pahlawan tidak kira di dalam parti mana beliau berada.

“Suara beliau digeruni oleh lawan dan disegani oleh kawan. Keberadaan beliau di dalam Dewan Rakyat puluhan tahun menghidupkan dewan dengan pelbagai perbahasan yang memperlihatkan wakil rakyat yang cerdik.

“Namun kini hanya tinggal Ahli Parlimen yang mengantuk mewakili Perikatan Nasional di dalam Dewan Rakyat. Tidaklah cukup dengan Ahli Parlimen baharu Ketereh yang hanya pandai cerita tentang askar dan peperangan komunis, apatah lagi dengan wakil-wakil rakyat daripada PAS yang kini sudah tidak laku apabila mengeluarkan dalil.

“Maka amat munasabahlah apabila Annuar Musa menjadi jurucakap baharu bagi PAS di dalam mana-mana pentas ceramah sebulan dua ini,” katanya.

Nik Saiful berkata, individu hebat seperti Annuar Musa, tempatnya bukanlah di liga kampung, justeru mungkin sebab itu sudah ada ura-ura beliau tidak berminat untuk bertanding dalam PRN.

“12 Jun lalu beliau keluarkan kenyataan ‘Jadikan saya calon ‘pilihan terakhir’ untuk PAS’. Ianya isyarat yang cukup jelas bahawa beliau tidak berminat dengan liga yang kecil.

“Kenyataan itu bagi menjawab kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang berkata pada 11 Jun lalu, Annuar Musa boleh dipertimbangkan sebagai calon PAS dalam PRN.

“PAS tidak memerlukan Annuar Musa di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sekiranya PAS masih mengekalkan posisi yang kuat di dalam DUN dan kerajaan negeri. Tiada siapa pun untuk dihentam di dalam DUN,” katanya.

Melainkan jika Annuar Musa hanyalah kuda tunggangan PAS untuk kekal berkuasa dalam PRN, kemudian bakal dikuburkan karier politiknya dalam DUN sahaja, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button