Berita Utama

Negara tidak akan berubah selagi veteran politik memerintah

Kita perlu tekan butang 'reset' negara bagi memformatkannya semula

BANGI, 7 Muharram 1443H, Isnin – Negara ini bukan sahaja berhadapan dengan krisis kesihatan, ekonomi dan politik, tetapi juga krisis pendidikan, mental, kejiwaan serta Perlembagaan.

Meskipun dengan menggunakan pendekatan baharu untuk mensejahterakan negara, ia dilihat masih tidak akan kesampaian merawat kesemua krisis ini, kata Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Ini kerana, kepimpinan negara masih berlegar di kalangan veteran politik dan mereka ini merebut ‘ghanimah’ pula setelah mendapat jawatan.

Sedangkan, negara ini sebenarnya tidak mengalami defisit kepimpinan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

“Tetapi jika kita hanya melihat kepada yang sedia ada sudah pastilah kita tidak dapat melihat bakat baru pemimpin yang mungkin tidak berkecimpung dalam dunia politik kepartian,” kata itu dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Justeru, beliau berpandangan bahawa negara memerlukan pemimpin merentas politik kepartian seperti teknokrat, pakar bidang, agamawan, figura berwibawa dan ramai lagi.

Beliau menjelaskan, pelantikan pemimpin seperti ini mungkin boleh dilakukan dengan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mentadbir negara.

Bagaimanapun, ia mestilah bebas dari kongkongan politik kepartian. 

“Moga-moga ada sinar kepada kemajuan negara bertitik tolak kepada apa yang akan berlaku pada hari ini. 

“Mungkin hari ini kita tidak dapat rungkaikan kesemuanya, tetapi sekurang-kurangnya perubahan dimulakan pada hari ini. Kita perlu menekan butang ‘reset’ negara kita bagi memformatkannya semula. 

“Setelah selesai dibersihkan kita boleh kembali ke sistem yang ada yang telah diperbaiki,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button