Berita Utama

Sukar mana-mana MP dapat majoriti, senario sama mungkin berulang

Tubuh jawatankuasa bebas tanpa terikat parti urus negara sehingga PRU

BANGI, 7 Muharram 1443H, Isnin – Apa terjadi hari ini adalah kemuncak daripada segala kekusutan yang ada dan rakyat melihat ia akan berterusan kecuali satu penyelesaian tuntas dilakukan. 

Ahli Majlis Tertinggi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kebarangkalian mana-mana Ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti adalah sukar. 

Bahkan, katanya, jika pun ada Ahli Parlimen mendapat sokongan majoriti, ia adalah majoriti yang sangat tipis. 

Keadaan itu hanya menjadikan senario yang berlaku sebelum ini berulang kembali dan rakyat akan terus ditimpa kesusahan, jelas Aminuddin.

“Bagi menghadapi kemelut politik sebegini maka tindakan yang paling wajar adalah untuk menyerahkan kembali mandat memilih pemimpin negara kepada rakyat melalui pilihan raya umum. 

“Namun dengan keadaan pandemik yang melanda negara sekarang, pilihan ini adalah tidak sesuai. 

“Sehubungan dengan itu maka negara tidak ada pilihan lain melainkan menyerahkan kepada kuasa budi bicara ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam keadaan politik tidak menentu dengan tidak ada mana-mana pihak mendapat sokongan majoriti, maka Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh mengisytiharkan Darurat Politik selaras dengan perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Dengan itu juga, katanya, satu jawatankuasa bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti, boleh dilantik untuk menguruskan negara sehingga pilihan raya umum diadakan. 

“Jika pun yang dilantik nanti diketuai oleh seorang ahli politik ianya mestilah tidak mewakili mana-mana parti dan keanggotaan jawatankuasa tersebut mesti di kalangan profesional dan yang berkelayakan. 

“Jawatankuasa ini mesti fokus kepada menyelesaikan masalah rakyat terutama isu kesihatan dan ekonomi. 

“Ini akan memberikan ruang untuk semua pihak bertenang termasuk ahli-ahli politik dan dapat memulihkan kembali keyakinan rakyat kepada pentadbiran negara,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin menyeru agar rakyat bertenang dan menjalani kehidupan seperti biasa sehinggalah perkara ini diputuskan oleh YDPA. 

“Jaga kesihatan dan sama-sama berdoa agar Allah SWT memberikan keputusan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button