Gabungan 26 NGO mohon Agong isytihar darurat politik terhad 6 hingga 8 bulan
Rakyat tak mahu senario kerajaan majoriti tipis, tak stabil berulang

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Sebanyak 26 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan darurat politik terhad selama enam hingga lapan bulan sekiranya tiada pemimpin yang mampu membuktikan sokongan majoriti selesa.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka memohon Seri Paduka Baginda, dengan sokongan Majlis Raja-Raja untuk menggunakan kuasa yang ada selari dengan Artikel 150 Perlembagaan.
“Sekiranya kerajaan tidak dapat membuktikan keabsahannya dengan majoriti yang selesa, Agong disyor untuk membubarkan Parlimen serta merta, selain mengisytiharkan Darurat Politik Terhad selama 6 hingga 8 bulan.
“Pada masa sama, menubuhkan juga Majlis Khas Pemulihan Krisis Negara. YDPA perlu menggunakan segala prerogatif yang ada mengikut Perlembagaan,” katanya.
Mereka menegaskan, negara memerlukan kestabilan dan ia tidak boleh dibiarkan ditentukan oleh ahli politik, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang baharu.
“Hakikatnya apa jua konfigurasi ahli politik hasil PRU14, tetap tidak membentuk kerajaan yang stabil. Dan kestabilan ini penting untuk kita menangani krisis berangkai yakni krisis politik, ekonomi, kesihatan fizikal dan kesihatan mental, pendidikan dan Perlembagaan.
“Apa jua gabungan kalau pun berjaya dibentuk akan mempunyai majoriti yang tipis dan akan sentiasa diganggu gugat sehingga mengakibatkan kerajaan tidak boleh fokus sebagaimana yang telah kita lihat sebelum ini, katanya.
Tegas mereka, rakyat tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan dan berulang, justeru pelaksanaan pregoratif YDPA kali ini pasti disokong semua lapisan rakyat.
“Kami mewakili rakyat jelata berbilang kaum, melalui gabungan NGO-NGI Melayu Islam ini, menjunjung kasih dan amat menghargai keprihatinan Yang Di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja akan derita berpanjangan yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata.
“Raja Perlembagaan adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang kita sanjungi, juga sebagai institusi tertinggi yang boleh disandarkan oleh rakyat untuk mengembalikan negara ini ke landasannya yang sebenar,” katanya.
Antara yang terbabit dalam kenyataan bersama ini adalah Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), The Malaysian Alliance of Civil Society Organizations in the UPR Process (MACSA), Persatuan Jihad Ekonomi Bersatu (JIETU), Pertubuhan IDRIS, Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI) dan Pertubuhan Angkatan Pengupayaan Insan (API).
Turut sama adalah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (AMAL SEJAGAT), Himpunan Anak Kedah Malaysia (HAKeM).
Selain itu, Gerakan Ekonomi Malaysia, Gabungan Demi Melayu, Persatuan Sufi Antarabangsa, Persatuan Mujaddidi Malaysia, Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), PEKEMA (Persatuan Pengimport Kenderaan Melayu Malaysia), Muwasolah Agamawan dan Aktivis Memperkasa Institusi Raja-Raja (MAMPIR).
Juga bersama mendatangani kenyataan adalah daripada Persatuan Seni Silat Panji Iman Al-HAQ, Pertubuhan Saudara Se-Islam Malaysia (Brothers in Islam), Solusi Malaysia (SOLUSI), Armada Malaiu Malaysia (AMMAL), Gerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ) dan Yayasan Kasih Tauhid.