BERJASA syor negara ditadbir Majlis Khas Pemulihan Negara
Dianggotai individu non-partisan, profesional, KSN, pengarah kementerian dan pimpinan NGO

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih belum boleh dilaksanakan, parti BERJASA mengesyorkan supaya pentadbiran negara ketika ini – selepas peletakan jawatan Perdana Menteri – dijalankan oleh satu Majlis Khas Pemulihan Negara.
Majlis Khas ini semestinya dianggotai individu-individu yang non-partisan, profesional dan berpengalaman dalam pentadbiran negara.
Ia termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau mantan KSN, pengarah-pengarah di kementerian-kementerian atau mantan pengarah dan pimpinan-pimpinan badan bukan kerajaan (NGO).
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, cadangan ini adalah berkait dengan bidang kuasa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat politik seperti yang termaktub pada Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“BERJASA yakin bahawa mereka bukan sahaja berpengalaman malah tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik. Mereka mampu membina semula kestabilan negara dan mengembalikan keyakinan rakyat kerana negara mempunyai kakitangan penjawat awam terbaik.
“Cuma apa yang mengganggu perancangan dan gerak kerja mereka selama ini adalah campur tangan ahii politik yang rakus dan tamak,” katanya.
Ustaz Zamani berkata, ketika negara masih lagi ditadbir oleh Majlis Khas ini, parti-parti Melayu dan Islam hendaklah mengadakan permuafakatan atau kerjasama.
Pun begitu, kerjasama ini tidak boleh hanya berlaku di antara UMNO, PAS dan BERSATU sahaja, tetapi mesti melibatkan parti-parti Melayu dan Islam yang lain termasuk parti-parti bukan Melayu yang bersedia menjunjung Perlembagaan Persekutuan.
Malah, Ustaz Zamani menegaskan, BERJASA juga adalah sebuah parti yang bersungguh-sungguh untuk membina semula negara ini.
“BERJASA sudah menyediakan barisan pimpinan yang berwibawa untuk terlibat dalam arena politik tanah air.
“BERJASA cukup yakin untuk memberikan sumbangan terbaik kerana BERJASA sudah menyediakan perancangan 20 tahun akan datang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul dan disegani khususnya di rantau Asia Tenggara,” katanya.