Berita UtamaDunia

Gambar dedah 640 rakyat Afghanistan ‘bersesak’ dalam pesawat AS

Pesawat bawa muatan lima kali ganda daripada yang sepatutnya

KABUL, 8 Muharram 1443H, Selasa – Gambar luar biasa yang menunjukkan ratusan penduduk awam Afghanistan – duduk secara rapat dan bersesak di dalam pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) – ketika mereka diterbangkan ke Qatar, diterbitkan agensi berita dalam talin.

Gambar yang disiarkan di Defenseone.com menunjukkan kanak-kanak berpaut pada ibu bapa mereka sementara orang lain menggunakan tali kargo sebagai tali pinggang keledar sementara.

Pesawat kargo ketenteraan AS Reach 871, C-17 Globemaster III, dilaporkan membawa lebih dari lima kali ganda muatan yang disarankan dan berlepas dari Kabul, Afghanistan.

Pegawai pertahanan AS memaklumkan lebih daripada 640 pelarian diselamatkan.

Menurut laman web itu, penerbangan dari Kabul ke Qatar, membawa salah satu penumpang terbesar dalam pesawat jenis ketenteraan dalam 30 tahun.

Jet ini mampu membawa muatan 77,564 kilogram tetapi hanya dirancang untuk 134 tentera.

Kapten dan anak kapal di dalam pesawat dilaporkan terkejut dengan jumlah penumpang yang berada di dalam pesawat tetapi memutuskan untuk tetap berlepas, dan tidak menghalau mereka.

Terdapat laporan bahawa pesawat tentera lain kembali terbang setelah operasi di lapangan terbang dihentikan sebentar untuk ‘membersihkan’ ratusan orang yang masih berada di lapangan kapal terbang.

Semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh ketika keadaan panik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, dengan ribuan penduduk menyerbu lapangan.

Video viral di media sosial menunjukkan beratus-ratus warga Afghanistan yang putus asa berlari di samping pesawat membolehkan mereka melarikan diri dari negara yang diperintah Taliban.

Sementara itu, Jurucakap Taliban, Suhail Shaheen mengatakan dalam sebuah ciapan di Twitter bahawa pejuang mereka berada di bawah perintah tegas untuk tidak mencederakan sesiapa pun.

“Kehidupan, harta benda dan kehormatan tidak akan dirugikan tetapi harus dilindungi oleh mujahidin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button