Berita UtamaIstimewa

ISMA mohon Agong bentuk kerajaan pemulihan urus isu kritikal

Babitkan individu berkepakaran ambil alih kepimpinan negara tanpa pengaruh parti politik

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Dengan penuh rasa tanggungjawab dan rendah diri, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memohon Yang di-Pertuan Agong membentuk pemerintahan kerajaan pemulihan yang dapat menguruskan isu kritikal yang sedang dihadapi negara hari ini.

Tumpuan utama kerajaan pemulihan ini antaranya bagi memulihkan ekonomi negara; mengatasi krisis kesihatan; membentuk hala tuju politik baharu serta menyelesaikan masalah tekanan hidup rakyat.

Bagaimanapun, Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman memohon Seri Paduka Baginda membentuk kerajaan pemulihan ini di luar daripada pengaruh parti-parti politik.

“Satu formula yang bersifat luar kotak perlu dirangka dengan melibatkan mereka yang berkepakaran mengambil alih kepimpinan negara kini yang tidak melibatkan orang politik.

“Selain itu, bagi tujuan memastikan kestabilan politik dikembalikan semula, Parlimen hendaklah digantung sementara bagi memberi ruang kerajaan pemulihan yang baharu ini menumpukan kepada agenda pemulihan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemimpin Islam itu berkata demikian susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan semalam selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Mengulas lanjut, Ustaz Abdullah berkata, suasana kemelut politik yang melanda negara hari ini telah menyaksikan bahawa ahli politik yang ada telah gagal dalam memainkan peranan mereka secara profesional.

Bahkan lebih dikesali pihak berkenaan meletakkan kepentingan parti dan diri masing-masing lebih utama dari kepentingan rakyat dan negara.

“Justeru, ISMA ingin menegaskan kepada semua pihak di tengah kemelut ketidakstabilan politik negara yang sedang berlaku ini, agar sentiasa meletakkan maqasid syariah sebagai kerangka utama dalam apa jua pertimbangan dan keputusan demi memastikan kehidupan masyarakat awam kekal selamat dan stabil.

“ISMA juga menggesa masyarakat awam supaya tampil memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan pemulihan yang bakal dibentuk,” katanya.

Difahamkan, semua ketua parti politik akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini dipercayai ada kaitan dengan perbincangan berhubung bakal Perdana Menteri kesembilan.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, perjumpaan dijangka berlangsung tengah hari yang turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button