Berita Utama

Kem ‘kluster mahkamah’ tak mungkin dipilih jadi PM

Kebanyakan pemimpin UMNO terbabit kes rasuah dan tidak berintegriti

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Meskipun kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh selepas 15 Ahli Parlimen UMNO termasuk beberapa pemimpin ‘kluster mahkamah’ menarik sokongan, namun kelompok ini bukan dari kalangan yang dipilih rakyat untuk menerajui negara.

Harapan rakyat sudah pasti bukan pemimpin yang mempunyai masalah integriti terutamanya mereka yang terpalit dengan kes-kes mahkamah yang belum diselesaikan. 

Selepas peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, jawatan nombor satu negara itu masih menjadi teka-teki walaupun senarai nama calon setiap parti sudah tersebar.  

Bercakap mengenai kemungkinan Muhyiddin dilantik semula sebagai Perdana Menteri, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali menegaskan, keputusan itu bergantung kepada sejauh mana Ahli Parlimen Pagoh itu dapat melakukan kerjasama strategik dengan parti-parti luar daripada Perikatan Nasional (PN). 

“Ini kerana Muhyiddin banyak mengkritik kumpulan yang beliau sebut sebagai kleptokrat itu merujuk kepada satu kem dalam UMNO. 

“Sudah pasti 15 Ahli Parlimen UMNO ini tidak akan menyokong Muhyiddin, maka untuk dilantik semula, beliau perlu mendapatkan sokongan parti-parti lain daripada PH atau pembangkang lain,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Manakala di sisi Pakatan Harapan (PH) pula, pemimpin mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempunyai 88 sokongan.

Sementara, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak menyatakan sokongan dan Parti Warisan Sabah (Warisan) juga nampak tidak begitu jelas kerana Warisan yang memiliki 8 Ahli Parlimen dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Dr Mazlan.

“Ada kemungkinan Anwar, sekiranya dapat melakukan perbincangan yang betul, mungkin beberapa orang daripada PKR, kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, atau Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mungkin boleh kembali kepada Anwar Ibrahim,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas sama ada Anwar Ibrahim berpotensi dilantik sebagai PM, Dr Mazlan berkata, ia bergantung kepada sejauh mana beliau boleh membawa majoriti.

“Sekiranya dia mempunyai majoriti yang cukup, daripada segi Perlembagaan, Seri Paduka Baginda boleh mempertimbangkan Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. 

“Meskipun tuanku mempunyai kuasa budi bicara, kalau kita melihat amalan lepas, setakat ini, tiada masalah ketua parti yang mendapat majoriti di Dewan Rakyat akan dipilih sebagai Perdana Menteri.

“Jika dilihat dari sudut kredibiliti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri rakyat sebenarnya melihat pemimpin daripada sudut kepimpinannya, termasuk individu yang bebas daripada sebarang rasuah dan tidak ada dalam sejarah hidupnya terlibat dengan perkara yang menjatuhkan integriti,” katanya lagi.

Beliau berkata, antara calon yang dapat dilihat ketika ini yang tidak dibabitkan dengan rasuah adalah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Wan Azizah.

“Ini pemimpin yang tidak ada kaitan dengan rasuah sementara kebanyakan pemimpin UMNO pernah terbabit dengan isu rasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button