Berita Utama

Kerajaan perpaduan tak stabil, banyak ‘kepala’ dan tiada proses semak imbang

Boleh wujud kerajaan minoriti dengan cara lantik tokoh ada sokongan paling besar

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Mengikut krisis sekarang, Yang di-Pertuan Agong akan memberi perkenan kepada pemimpin politik untuk membuat rundingan dalam tempoh sehari dua sekiranya tidak ada mana-mana tokoh yang dapat sokongan majoriti – sekurang-kurangnya 111 undi – Ahli Parlimen.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof menjelaskan, rundingan itu bagi menambah sokongan atau mewujudkan kerajaan campuran.

Ia antara idea yang ada dikemukakan untuk menggabungkan beberapa parti dan membentuk kerajaan kerjasama dalam konteks campuran yang mana dasar negara itu perlu dikongsikan di antara parti-parti.

Namun, sekiranya dalam tempoh itu masih lagi gagal untuk mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan campuran atau gabungan lagi besar, Seri Paduka Baginda mempunyai pilihan yang lain iaitu melantik seseorang yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti, katanya.

“Perkataan mungkin itu membolehkan baginda melantik seseorang yang mungkin mampu mendapatkannya.

“Atau dengan kata lain, dalam konteks kerajaan minoriti boleh diwujudkan dengan cara itu iaitu melantik seorang tokoh yang memiliki sokongan paling besar mungkin 108 contohnya, tidak cukup 111 tapi tetap boleh dilantik,” katanya ketika mengupas mengenai senario terkini politik tanah air bersama TV Pertiwi.

Beliau menjelaskan, kerajaan minoriti itu merupakan blok kerajaan yang tidak cukup jumlah minimum undi, namun mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen lain menggunakan dua kaedah antaranya Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) selain mewujudkan kerajaan perpaduan.

“Kerajaan perpaduan ini satu konsep yang diguna pakai di beberapa buah negara iaitu ‘unity goverment’. Ia menggabungkan hampir keseluruhan parti-parti yang ada termasuk parti pembangkang dan boleh dikatakan tidak ada pembangkang.

“Tetapi masalahnya kerajaan itu tidak stabil kerana banyak ‘kepala’ dan masalah yang lain apabila tidak ada pembangkang, maka tidak ada proses semak dan imbang. Itu keburukan kerajaan perpaduan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button