Berita UtamaDunia

Pentagon hantar 1,000 tentera AS ke Afghanistan

Tiada penerbangan keluar masuk, masih ramai berkumpul di landasan

KABUL, 8 Muharram 1443H, Selasa – Pentagon mengumumkan akan menghantar 1,000 lagi tentera Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan untuk membantu meredakan keadaan di lapangan terbang Kabul. 

Keputusan itu dibuat setelah ribuan rakyat menyerbu lapangan terbang untuk melarikan diri selepas negara diambil alih oleh Taliban.

Jurucakap Jabatan Pertahanan AS, John Kirby berkata, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin membenarkan penempatan segera pasukan baharu ke Kabul.

AS kini akan mempunyai seramai 6,000 tentera di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai di Kabul.

Kirby memberitahu, penutupan kedutaan AS bermaksud kehadiran Amerika kini tertumpu di lapangan terbang, di mana semua penerbangan masuk dan keluar telah dihentikan sehingga keadaan mereda.

Semalam, sekumpulan besar orang ramai yang panik menyerbu landasan lapangan terbang untuk mengejar penerbangan dari Afghanistan, untuk meninggalkan negara itu.

Pada masa ini, sebagai langkah berjaga-jaga, tidak ada penerbangan yang akan datang atau pergi, baik tentera atau orang awam kerana ramai orang masih berada di landasan.

The Associated Press melaporkan, beberapa rakyat Afghanistan jatuh dari pesawat tentera Amerika yang berlepas dari landasan ketika mereka berpaut pada tangga automatik pesawat.

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh.

Tentera AS dilaporkan menembak mati dua orang bersenjata di lapangan terbang Kabul, yang didawa menunjukkan ancaman dalam dua insiden yang berasingan.  

Bagaimanapun, tidak ada petunjuk bahawa kedua-dua individu tersebut adalah Taliban.

Taliban mengambil alih ibu kota Kabul pada hari Ahad dan menyatakan bahawa perang di Afghanistan sudah berakhir.

Taliban dilaporkan bersedia menguasai kembali Afghanistan setelah 20 tahun mereka disingkirkan dari kuasa oleh pasukan AS setelah serangan 11 September 2001 di New York.

AS menyerang Afghanistan pada Oktober 2001 dan menyingkirkan Taliban.

Tentera AS menduduki negara itu selama kira-kira 20 tahun dengan alasan kononnya memerangi Taliban. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button