Berita Utama

Persepsi permohonan sijil halal susah, mahal tidak benar: Jakim

3,117 syarikat Bumiputera peroleh pensijilan halal Malaysia

PUTRAJAYA, 8 Muharram 1443H, Selasa – Persepsi orang ramai bahawa permohonan mendapatkan pensijilan halal susah, lambat dan mahal adalah tidak benar, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Beliau berkata, statistik menunjukkan sebanyak 3,117 syarikat Bumiputera telah memperoleh pensijilan halal Malaysia dan masih aktif sehingga kini.

“Banyak permohonan yang berjaya dikendalikan dalam masa kurang daripada tempoh 30 hari dan ini dapat dicapai apabila keperluan pensijilan dipenuhi dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Meja Bulat bersama Agensi Pembimbing Usahawan secara maya hari ini.

Menurutnya, Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri komited untuk merancakkan perkembangan industri halal di Malaysia terutamanya yang melibatkan usahawan Bumiputera serta pembangunan industri kecil dan mikro yang lengkap dengan pakej produk bersama pensijilan halal Malaysia.

“Melalui saluran maklumat dan bimbingan yang betul, kita akan dapat merancakkan perkembangan industri halal dan juga perkembangan yang positif bagi pensijilan halal Malaysia di peringkat global,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button