Berita Utama

Zahid, Najib antara empat calon PM UMNO?

Akan diserah pucuk pimpinan parti yang menghadap Seri Paduka di Istana Negara hari ini

BANGI, 8 Muharram 1443H, Selasa – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara empat nama yang akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

Turut tersenarai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Utusan Malaysia yang memetik sumber UMNO mengesahkan empat nama itu akan diserahkan oleh pucuk pimpinan parti yang menghadap Seri Paduka di Istana Negara hari ini.

Media tempatan itu turut melaporkan, dalam pemilihan calon Perdana Menteri kesembilan, UMNO meletakkan syarat yang perlu dipersetujui bersama iaitu keputusan daripada parti berkenaan perlu dikumpul dalam Akuan Sumpah (SD) yang sama dan tidak boleh berasingan.

Bagaimanapun timbul persoalan berhubung nama Ahmad Zahid susulan beliau sebelum ini tidak berminat menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri berkuat kuasa serta-merta.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meletakkan jawatan selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button