Berita Utama

Ahli Parlimen telah hantar surat akuan bersumpah kepada Istana Negara

Sertakan nama calon pilihan untuk menjadi Perdana Menteri ke-9

KUALA LUMPUR, 9 Muharram 1443H, Rabu – Beberapa Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik yang dihubungi petang ini mengesahkan mereka telah menyerahkan surat akuan bersumpah masing-masing kepada Istana Negara dan menyertakan nama calon pilihan untuk menjadi perdana menteri kesembilan, seperti yang diminta Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun semalam.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata surat akuan bersumpah beliau telah dihantar melalui e-mel pagi tadi, manakala Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran telah menghantar surat akuan bersumpah melaui e-mel dan faks pda pukul 12.30 tengah hari.

Kedua-duanya adalah ahli Dewan Rakyat daripada PKR.

“Pemilihan calon perdana menteri adalah seiring dengan pendirian PKR yang berpegang kepada konsensus PH, iaitu menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri,” kata Prabakaran ketika dihubungi.

Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengesahkan surat akuan bersumpah telah dihantar kepada parti (PAS) untuk diuruskan.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menjelaskan Dewan Ulama PAS Pusat menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri, yakni selaras dengan ketetapan PAS Pusat yang sebulat suara menyokong Naib Presiden UMNO itu untuk menduduki jawatan berkenaan.

“Pencalonan itu juga menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mampu bersatu dalam apa jua keadaan yang berlaku. Saya yakin Ismail Sabri dapat menampilkan kepimpinan yang baik berasaskan pengalamannya sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Ahli Parlimen Tumpat yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata beliau juga sudah menyerahkan surat akaun bersumpah itu kepada parti untuk diuruskan.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berkata DAP akan menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Istana Negara sebelum pukul 4 petang, dan menurutnya surat akuan itu adalah rahsia mengikut arahan Istana Negara.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menerusi notis bertarikh 17 Ogos meminta 220 ahli Dewan Rakyat menyerahkan satu surat akuan bersumpah bagi menamakan seorang calon perdana menteri.

Notis itu bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh Isnin lepas.

Menurut sumber rapat, Ahli Parlimen Ketereh (Kelantan) Tan Sri Annuar Musa telah menghantar surat akuan menerusi e-mel manakala Ahli Parlimen Padang Terap (Kedah) Datuk Seri Mahdzir Khalid pula menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) juga telah menandatangani dua surat akuan masing-masing bagi menyokong Anwar dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

Ketua Wira Warisan Datuk Azis Jamman yang juga Ahli Parlimen Sepanggar (Sabah) menegaskan walaupun menandatangani dua surat akuan, Warisan akan berusaha memastikan Anwar sebagai calon pertama Perdana Menteri daripada pembangkang mempunyai sokongan majoriti cukup untuk menjawat jawatan itu.

Beliau mendakwa pembangkang mempunyai 105 sokongan termasuk Warisan, dan Anwar perlu mendapatkan sokongan enam lagi ahli Parlimen bagi jumlah majoriti mudah 111 kerusi parlimen.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah menyerahkan surat akuan bersumpah kepada Istana Negara, namun Pengerusi GPS Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau tidak boleh mendedahkan nama dan jumlah calon yang telah dihantar itu.

“Saya tidak boleh beritahu nama (yang telah dihantar), saya tidak boleh mendahului Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah),” katanya.

Ketika ditanya sama ada Anwar atau PH ada menghubunginya untuk mendapatkan sokongan, Abang Johari berkata beliau tidak dihubungi Anwar.

Dewan Rakyat kini mempunyai 220 orang ahli selepas dua ahlinya meninggal dunia tahun lepas iaitu Datuk Hasbullah Osman bagi kawasan Gerik dan Datuk Liew Vui Keong (kawasan Batu Sapi).

Sehubungan itu, seseorang Ahli Parlimen perlu mempunyai sokongan sekurang-kurangnya 111 Ahli Parlimen sebagai majoriti mudah untuk membolehkan dia dilantik sebagai perdana menteri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button