Berita Utama

Ambil iktibar konflik Afghanistan

Putuskan kebergantungan dengan kuasa luar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Muharram 1443H, Rabu – Negara Islam perlu mengambil iktibar berhubung situasi yang berlaku di Afghanistan lebih-lebih lagi melibatkan konflik dalaman serta kebergantungan kepada kuasa luar.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni tidak menolak kemungkinan negara akan terjebak dalam masalah sama seperti Afghanistan jika membiarkan perpecahan politik sesama umat Melayu Islam berlarutan lebih panjang.

Katanya, pekembangan di Afghanistan adalah perkembangan yang mencabar walaupun ia boleh dijangkakan begitu sejak 30 tahun lepas.

“Kestabilan dan keamanan adalah tema yang seolah-olah hilang di Afghanistan sejak berdekad lamanya.

“Bermula dari fasa perang Afghanistan-Soviet, diikuti dengan pertelingkahan sesama kumpulan-kumpulan mujahidin dalam menentukan pemerintah negara, diikuti dengan penguasaan Taliban yang mengamalkan dasar yang agak ekstrem dan berakhir dengan era Afghanistan di bawah ‘penjagaan’ tentera Amerika Syarikat (AS).

“Kini ia memasuki era baru dengan kemunculan Taliban yang menjanjikan wajah baru dalam pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan.

Susulan keadaan semasa di Afghanistan, Ustaz Fauzi berkata, cabaran utama negara itu antaranya untuk mengembalikan kehidupan bersosial yang tenang setelah sekian lama duduk di dalam kancah peperangan.

Katanya, pemerintah perlu ada gambaran menyeluruh mengenai bagaimana bentuk negara Islam yang sebenar dan langkah-langkah awal untuk menuju ke arah itu.

“Jika gambaran bentuk negara itu sendiri tidak jelas, dengan mudah akan berlaku sama ada keekstreman melampau dalam pengurusan negara atau pengabaian banyak aspek hingga menyebabkan pembangunan negara tidak berlaku secara menyeluruh.

“Dan kedua-duanya akan merugikan negara untuk tempoh berdekad lagi yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat Afghanistan membina kekuatan dalaman sendiri dan memutuskan kebergantungan kepada kuasa luar sedikit demi sedikit.

Ini kerana masih ramai rakyat yang risau nasib mereka apabila tentera AS tidak ada lagi di negara itu.

“Ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi kepada kuasa luar masih wujud dalam pemikiran sebahagian rakyat.

“Dan tidak mustahil dengan perasaan itu, rakyat akan mengambil jalan pintas untuk menerima perlindungan dari kuasa luar lain seperti China dan sebagainya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button