Berita Utama

Kerajaan stabil perlu bebas kongkongan politik kepartian

Mesti diterajui pakar bidang, individu wibawa tanpa jalur politik

BANGI, 9 Muharram 1443H, Rabu – Tidak mustahil kerajaan baharu yang bakal dibentuk mengalami nasib sama seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) jika hanya memperoleh sokongan majoriti tipis Ahli Dewan Rakyat.

PH sebelum ini hilang majoriti untuk membentuk Kerajaan Pusat susulan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar gagasan itu.

Sementara kerajaan PN pula ‘tumbang’ selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan cadangan kerjasama rentas parti yang dikemukakan beliau ditolak parti-parti pembangkang.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi PEMBELA, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan negara memerlukan kerajaan yang stabil dari segi sokongan.

“Kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil.

“Jika Perdana Menteri baharu nanti setakat mempunyai kelebihan satu atau dua kerusi, malah jika sepuluh kerusi pun ia mungkin tidak stabil kerana berkemungkinan satu parti akan mengugut keluar kerajaan kerana tuntutan mereka tidak dipenuhi.

“Akibatnya kerajaan tersebut akan mengalami apa yang dialami oleh PN dan PH dahulu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau turut berpendapat buat masa ini adalah lebih baik negara mempunyai sebuah kerajaan yang stabil bagi menumpukan kepada ‘peperangan’ yang sedang dihadapi iaitu memerangi COVID-19.

Pada masa sama, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat ditumpukan sepenuhnya.

“Bagaimana mahu mendapat kerajaan yang stabil tersebut? Kita perlu memikir cara atau solusi yang bebas dari kongkongan politik kepartian.

“Kerajaan hari ini sekurang-kurangnya untuk suatu tempoh tertentu, perlu diterajui oleh pakar-pakar bidang, teknokrat, agamawan ‘non-partisan’ dan orang yang berwibawa tanpa jalur politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button