Berita Utama

MUDA akan fail permohonan baharu cabar keputusan tolak pendaftaran parti

Prosiding hari ini, MUDA tarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini

KUALA LUMPUR, 9 Muharram 1443H, Rabu – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu akan memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menolak rayuan untuk mendaftarkan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai sebuah parti politik.

Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Syed Saddiq dan 12 yang lain, memaklumkan perkara itu ketika dihubungi pemberita selepas prosiding secara dalam talian hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin yang turut disertai Peguam Persekutuan M. Kogilambigai bagi pihak Menteri Dalam Negeri dan RoS.

“Pada prosiding hari ini, pihak kami menarik balik permohonan semakan kehakiman sebelum ini yang mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan MUDA untuk mendaftarkan parti berkenaan atas alasan ia menjadi akademik kerana pada 12 Ogos lepas, Menteri Dalam Negeri telah membuat keputusan berhubung rayuan itu dengan menolak permohonan tersebut.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami untuk menarik balik semakan kehakiman tanpa perintah berkaitan kos. Bagaimanapun, kami akan memfailkan permohonan baharu hari ini atau esok bagi mencabar tindakan responden yang menolak rayuan MUDA,” katanya.

Permohonan itu sepatutnya didengar hari ini selepas MUDA, pada 25 Mei lepas, memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman tersebut.

Pada 26 April lepas, Syed Saddiq yang juga pengasas parti itu serta 12 individu, memfailkan permohonan antara lain bagi memohon perintah mandamus untuk Menteri Dalam Negeri mencapai keputusan mengikut Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan terhadap keputusan RoS pada 6 Jan lepas yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button