Berita Utama

Kes Najib: Serah pada mahkamah tanpa campur tangan politik

Jangan lupa kes kematian Adib dibelasah kejam belum terbela

BANGI, 8 Zulhijjah 1441H, Rabu – Biarkan mahkamah dan sistem kehakiman memainkan peranan tanpa sebarang campur tangan politik daripada pihak pemerintah, kata Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Razak, selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Susulan keputusan itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan untuk prosiding rayuan sebelum hukuman dijatuhkan kepada Isnin depan.

Namun, permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram dengan hujah penangguhan hanya diberikan selepas hukuman diberikan dan bukannya penangguhan bagi sabitan. 

Keputusan itu menyebabkan kebanyakan penyokong bekas perdana menteri itu tidak berpuas hati.

Manakala, pembangkang Pakatan Harapan (PH) pula mengambil kesempatan, kononnya mendakwa perjuangan mendedahkan salah laku Najib itu berjaya.

Dr Zainur Rashid berkata, masih banyak lagi kes seumpama itu belum diselesaikan, termasuklah dakwaan membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kes rasuah Lim Guan Eng, kes rogol pemimpin DAP dan kumpulan pengganas, LTTE.

“Jangan lupa kes Adib (Allahyarham Muhamad Adib Mohd Kassim) yang dibelasah kejam sehingga meninggal dunia, masih belum terbela.

“Jangan hanya terima keputusan mahkamah sebab orang lain dan tolak keputusan untuk geng sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button