Berita Utama

PM ke-9: Usul undi percaya elak berulang isu keabsahan kerajaan baharu

Ambil kira tauladan berlaku setelah pelantikan Muhyiddin pada Mac 2020

BANGI, 9 Muharram 1443H, Rabu – Titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan usul undi percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri ke-9 nanti berkemungkinan dibuat melalui pengalaman situasi politik sebelum ini.

Langkah itu juga dilihat mampu mengelakkan isu keabsahan terhadap pembentukan kerajaan baharu berulang.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkemungkinan dibuat selepas mengambil kira tauladan yang berlaku setelah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac tahun lalu.

“Jadi ini mungkin satu proses untuk memastikan walaupun ia bukan dalam bentuk perundangan tetapi untuk memastikan ahli Dewan Rakyat itu sebenarnya telah menerima dan memberikan pengesahan.

“Walaupun pengesahan itu dalam konteks raja berperlembagaan kita, ia bukan suatu yang wajib tetapi ini untuk meredakan suasana atau persepsi politik kepada kerajaan yang dibentuk nanti kerana melalui pengalaman sebelum ini, yang dikatakan tidak ada prosedur sedemikian ketikan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Mac 2020,” katanya.

Memetik Astro Awani hari ini, Prof Shamrahayu berkata, undi percaya terhadap Perdana Menteri hanya satu bentuk amalan, dan ia pernah dilaksanakan di Dewan Rakyat tanpa titah Seri Paduka Baginda.

“Saya fikir sebelum ia pernah dilakukan, maksudnya tanpa titah Tuanku. Pertukaran transisi kuasa daripada seorang Perdana Menteri yang baharu semasa (pemerintahan) Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Hussein Onn.

“Ia tentang menunjukkan sokongan atau kepercayaan kepada Perdana Menteri yang dilantik, bukan hasil daripada pilihan raya tetapi kerana transisi kepimpinan.

“Dari sini, kita nampak ia adalah satu amalan kerana ia tidak ada dalam peruntukan Perlembagaan untuk pengesahan tentang apa yang dititahkan atau diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda tentang pelantikan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button