Berita UtamaDunia

Taliban ikrar lindungi hak wanita, kebebasan akhbar

Berjanji takkan laksana tindakan sama seperti akhir 1990-an

KABUL, 9 Muharram 1443H, Rabu – Taliban berjanji untuk melindungi hak wanita dan kebebasan akhbar selepas merampas kuasa di Afghanistan.

Ia termasuk membenarkan wanita bekerja dan belajar, kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

“Wanita akan menjadi sangat aktif dalam masyarakat namun dalam prinsip Islam,” katanya ketika sidang media di Kabul semalam.

Susulan serangan di Afghanistan yang menyaksikan kebanyakan bandar jatuh ke tangan kumpulan itu dengan tentangan minimum, Taliban berusaha menggambarkan dirinya sebagai lebih sederhana daripada ketika ia menerapkan peraturan rejim pada akhir 1990-an.

Mujahid berkata, tidak akan ada diskriminasi terhadap wanita serta menambah bahawa golongan itu akan bekerjasama dengan mereka.

Menegaskan kerajaan Taliban baharu akan berbeza daripada sebelumnya, Mujahid berkata, kumpulan itu telah berkembang dan tidak akan melakukan tindakan sama seperti yang mereka lakukan pada masa lalu.

Beliau turut memberi jaminan kepada wartawan bahawa Taliban komited untuk melindungi hak pekerja media.

Katanya lagi, kumpulan itu tidak mempunyai hasrat untuk memasuki kediaman penduduk atau melakukan serangan balas terhadap sesiapa yang pernah berkhidmat pada kerajaan sebelumnya, bekerja dengan orang asing atau merupakan anggota pasukan keselamatan Afghanistan.

Bagaimanapun terdapat laporan yang tidak disahkan mengenai pejuang Taliban memasuki kediaman penduduk Kabul.

Mujahid menafikan dakwaan itu sebaliknya mengatakan mereka adalah penyamar yang harus diserahkan kepada Taliban dan menghadapi hukuman sewajarnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button