Berita Utama

PN sokong Ismail Sabri dengan syarat

Ahli Jemaah Menteri perlu bebas dari sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah

BANGI, 10 Muharram 1443H, Khamis – Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik adalah mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarat berkenaan selaras dengan prinsip PN untuk mempertahankan kerajaan yang berintegriti.

Selain itu, kerajaan PN di bawah pimpinan Naib Presiden UMNO itu juga mesti meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

“PN telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.

“Semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti-parti gabungan PN, iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, 18 PAS dan 1 STAR telah menyerahkan akuan bersumpah ke Istana Negara pada 18 Ogos lepas menyatakan sokongan kepada beliau sebagai calon Perdana Menteri.

“4 Ahli Dewan Rakyat bebas pro-PN juga telah berbuat demikian. Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19, dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Muhyiddin berkata, apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU15 apabila tiba masanya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button