Berita Utama

Segerakan usul undi percaya sebaik PM ke-9 dilantik

Percepatkan sidang Parlimen elak tawar-menawar politik

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 10 Muharram 1443H, Khamis – Usul undi percaya di Dewan Rakyat terhadap Perdana Menteri baharu harus dibuat secepat mungkin bagi mengelakkan isu keabsahan pembentukan kerajaan berulang.

Langkah itu juga untuk mengelakkan ruang tawar-menawar berlaku sekiranya tempoh proses keabsahan mengambil masa yang panjang.

Oleh itu, penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mencadangkan supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin tanpa perlu menunggu jadual asal iaitu pada 6 September depan.

“Saya rasa selagi banyak masa yang diberikan kepada Parlimen untuk bersidang, maka begitu banyak ruang untuk berlaku tawar-menawar.

“Seeloknya panggil sidang Parlimen secepat mungkin dan buat undi percaya segera supaya kerajaan boleh bergerak selepas itu, lantikan dapat dibuat dan Kabinet berjalan seperti biasa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Menurut Dr Nik Ahmad Kamal, beliau tidak pasti sama ada proses angkat sumpah lantikan Perdana Menteri akan dibuat terlebih dahulu sebelum usul undi percaya di Dewan Rakyat atau sebaliknya.

“Tetapi, jika berlaku selepas istiadat angkat sumpah dan Kabinet baharu dilantik, maka diharapkan tiada perubahan atau tukar fikiran dalam kalangan Ahli Parlimen ini.

“Tidak penting sebenarnya sebelum atau selepas angkat sumpah, tetapi yang utama adalah keabsahan itu dibuat di Parlimen dan berharap janganlah mengambil tempoh begitu lama untuk keabsahan tersebut,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli.

Sejak pagi tadi, Istana Negara menjadi tumpuan apabila 114 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dipanggil bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Blok berkenaan bersepakat untuk mencalonkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengesahan SD itu sekali gus meredakan kemelut politik yang berlaku susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengesahkan tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button