Berita Utama

114 MP tandatangan SD, Ismail Sabri kini Perdana Menteri

Pelantikan diharap mengakhiri kemelut politik negara: Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

Daripada surat-surat akuan tersebut, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail Sabri – jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. 

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, 19 Ogos 2021, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan dengan itu dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” katanya, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan esok, 21 Ogos 2021 pada jam 2.30 petang, di Istana Negara.

Katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan dengan pelantikan Perdana Menteri ini, maka kerajaan perlu meneruskan usaha-usaha memerangi pandemik COVID-19 dengan segera demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat krisis dan ancaman pandemik ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar dengan pelantikan Perdana Menteri baharu ini, kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan kesemua ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati dan bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kemurungan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

“Ahli-ahli Dewan Rakyat turut diingatkan supaya mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan, komitmen yang tinggi dan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam menyempurnakan tanggungjawab baginda selaku Raja Berperlembagaan yang berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang.

“Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu turut menyokong pendirian Seri Paduka Baginda kepada pembentukan kerajaan yang stabil dengan secepat mungkin berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri dengan melakukan penelitian dan pemerhatian yang lebih mendalam menerusi surat akuan dan pengesahan melalui sesi menghadap secara fizikal dan maya dengan setiap Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar terus bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Sesi perbincangan khas itu berlangsung selama dua jam setengah bermula pada jam 2 petang.

Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Yang Berhormat Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button