Pendapat

PPMM junjung kasih perkenan Agong lantik PM ke-9

Saran lakukan reformasi pada Dewan Negara melalui lantikan baharu

SAYA menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baharu setelah berunding dengan Raja-Raja Melayu walaupun kami beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengusulkan untuk pentadbir yang bukan dari kalangan orang politik.

Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan baginda menurut Perlembagaan Persekutuan dengan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mempunyai majoriti di dewan yang mulia tersebut. Tahniah YAB DS Ismail Sabri atas pelantikan ini.

Saya mengusulkan kepada Perdana Menteri agar melantik dari kalangan yang berwibawa sebagai menteri dan timbalan menteri yang jumlahnya tidaklah perlu besar.

Saya juga sarankan kepada YAB Perdana Menteri agar tidak lagi menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya melantik ahli Dewan Negara dari kalangan ahli politik tetapi pakar bidang, teknokrat, profesional, agamawan non partisan dan pimpinan NGO.

Ketika ini saya difahamkan hanya terdapat 37 ahli Dewan Negara lantikan Yang Di Pertuan Agong (jumlah penuh 44). Terdapat tujuh kekosongan dan saya difahamkan pada 26 Ogos nanti seramai 12 ahli Dewan Negara akan tamat tempoh lantikan. Inilah masanya untuk membuat reformasi Dewan Negara.

Biarlah perbahasan di Dewan Negara menjadi ilmiah, bervisi dan mantap dari kalangan mereka yang berwibawa, bukan politikus yang tiada tempat di Dewan Rakyat diletakkan di Dewan Negara. Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempunyai fungsinya yang berbeza.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button