Berita Utama

PEMBELA junjung tinggi titah Agong isytihar darurat

Beri amaran, ahli politik jangan keluar kenyataan jejas kestabilan negara

BANGI, 28 Jamadilawal 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat untuk menangani jumlah kes jangkitan wabak COVID-19 di negara ini. 

Justeru, PEMBELA memberi amaran kepada ahli-ahli politik supaya tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kestabilan negara dan mencetuskan panik dalam kegilaan merebut kuasa sepanjang tempoh darurat ini. 

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, pelaksanaan darurat selari dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkannya. 

“Oleh itu, kami berharap agar tiada pihak mempolitikkan isu ini kerana ianya merupakan isu kesihatan yang menentukan nasib nyawa rakyat. 

“Kita juga menggesa agar rakyat berhenti membuat pelbagai spekulasi liar mengenainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, Istana Negara mengumumkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak COVID-19 di Malaysia.   

Dalam satu kenyataan hari ini, Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.   

Seri Paduka turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen dan pakar kesihatan.   

Pelaksanaan darurat itu tidak membabitkan perintah berkurung dan rampasan kuasa tentera, di mana aktiviti ekonomi dan pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa. 

Mengambil maklum kebenaran operasi enam sektor untuk memastikan perjalanan ekonomi bergerak, Aminuddin berharap langkah itu dapat meringankan beban ekonomi negara sepanjang tempoh darurat. 

“Kita menyedari bahawa rakyat kini perlu memikirkan alternatif untuk menyara kehidupan sepanjang tempoh darurat ini walaupun berat dan sukar. 

“Kita menerima akan hakikat ini demi menjaga maslahat yang lebih besar, iaitu nyawa rakyat,” katanya. 

Beliau berkata, bukan hanya Malaysia yang melaksanakan langkah drastik ini, tetapi juga negara-negara lain khususnya di Eropah. 

“Ayuhlah bersama-sama berdoa agar Allah SWT meringankan beban kita dan memberikan kekuatan untuk terus tabah dan akhirnya segera mengeluarkan kita dari musibah ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button