Berita Utama

Mangsa bencana kepala air di Yan, Kuala Muda terima bantuan RM500

Bolehkan mereka lakukan kerja-kerja penggantian alat asas rumah

ALOR SETAR, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Kerajaan negeri Kedah menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM500 kepada setiap keluarga terkesan dengan banjir susulan fenomena kepala air di Gunung Jerai, Yan, yang berlaku pada Rabu lepas.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan di laman media sosialnya memaklumkan bantuan itu adalah bagi membantu kerja-kerja penggantian sebahagian peralatan asas rumah dan pembersihan akibat banjir berkenaan.

“Hasil perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) malam tadi, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan bantuan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat fenomena kepala air.

“Bagi keluarga yang kehilangan nyawa akibat kejadian itu, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan berjumlah RM5,000 kepada keluarga mangsa,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata urusan pendaftaran bagi keluarga terjejas menerima bantuan berkenaan akan diuruskan oleh Pejabat Daerah Yan dan Pejabat Daerah Kuala Muda.

“Sebagai langkah awal, keluarga terlibat dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan mendaftarkan nama dan maklumat diri dengan Pejabat Daerah masing-masing. Bagi bantuan untuk membaiki kerosakan bangunan bukan kediaman dan bangunan kerajaan ia masih dalam perbincangan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal, sebanyak 800 rumah di sekitar Yan dan 200 rumah di Tupah, Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

Sehingga 4.30 petang semalam, empat mangsa ditemukan maut, seorang cedera dan dua masih hilang selepas terlibat dalam banjir yang berlaku kira-kira 5 petang Rabu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button