Berita Utama

PM ke-9 diminta bersungguh laksana agenda Bumiputera

Usah bentuk Kabinet terlalu besar, berhemah dalam berbelanja

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Majlis Perundingan Melayu (MPM) memohon Perdana Menteri Malaysia yang baharu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan agenda Bumiputera dengan betul dan penuh keikhlasan.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad menegaskan agenda Bumiputera sama sekali tidak boleh dipisahkan daripada agenda kebangsaan, sebaliknya ia perlu dijadikan tunggak dalam agenda negara. 

Beliau turut mengesyorkan supaya Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 diubah menjadi Agenda Kemakmuran Nasional Diterajui Bumiputera, bukan sebagai dua agenda yang berasingan, seperti mana yang dilakukan kini. 

“Agenda Kemakmuran Nasional Diterajui Bumiputera adalah agenda induk berdasarkan dasar induk (mother policy) yang wajib digubal berpandukan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut meminta supaya kerajaan yang baharu kelak tidak membentuk Kabinet yang terlalu besar. 

“Negara kita dah semakin miskin, maka kerajaan kenalah berbelanja berhemah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Hasan berkata, bahawa rakyat jelata menaruh harapan kepada Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri untuk memulihkan keyakinan terhadap kepimpinan negara yang kucar-kacir begitu lama.  

“Pulihkan juga keyakinan pelabur dan pengurus dana asing untuk kembali bermain di pentas ekonomi dan pasaran modal di negara ini.  

“Bila keyakinan semua pihak dah pulih, lebih mudah untuk mengatur tindakan tangani lain-lain permasalahan yang kini melanda negara. Kita boleh!,” katanya.

Beliau berkata, teguran itu tidak hanya untuk kerajaan baharu, tetapi turut terpakai terhadap pihak pembangkang bagi membaik pulih keadaan negara.

Katanya, baik kerajaan mahupun pembangkang, kedua-duanya wajib sama-sama membina semula negara ini seperti mana yang semua idam-idamkan iaitu untuk kembali menjadi The Asian Tigers. 

“Insaflah semua 220 wakil rakyat, termasuk di blok pembangkang PH + Plus, setiap orang daripada kamu wajib mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kamu. 

“Berhemahlah kamu semua dalam berpolitik. Kamu boleh! Hatta, cabaran pertama kamu sekalian adalah menyejukkan hati setiap orang di kalangan PN untuk berdamai dan bermaafan. 

“Bila ‘rumah tangga’ aman damai, mudahlah kamu mentadbir negara tercinta ini. Bila lidah tidak lagi tergigit, masakan PH akan bertempik. PN boleh! Carik-carik bulu ayam, lama lama bercantum juga,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (statutory declaration) pada 18 Ogos 2021 lalu.

Daripada surat-surat akuan tersebut, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob – jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button