Stesen LRT, MRT dan Monorel di Kuala Lumpur tutup sementara esok
LRT laluan Ampang dan Sri Petaling, LRT laluan Kelana Jaya, MRT laluan Kajang dan kesemua stesen Monorel KL antara ditutup

KUALA LUMPUR, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Beberapa stesen transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel di Kuala Lumpur akan ditutup sementara waktu bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, esok bagi tujuan memelihara keselamatan awam.
Dalam laman Instagram, MyRapid KL memaklumkan, penutupan tersebut melibatkan LRT laluan Ampang dan Sri Petaling, LRT laluan Kelana Jaya, MRT laluan Kajang dan kesemua stesen Monorel KL.
“Penutupan sementara LRT laluan Ampang dan Sri Petaling melibatkan stesen Chan Sow Lin, Hang Tuah, Masjid Jamek, Sultan Ismail, Pudu, Plaza Rakyat, Bandaraya dan Cheras.
“Manakala bagi laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat adalah Kampung Baru, Masjid Jamek, KL Sentral, Abdullah Hukum, Dang Wangi, Pasar Seni dan Bangsar.
“Selain itu, turut ditutup ialah MRT laluan Kajang yang melibatkan Taman Pertama, Cochrane, Bukit Bintang, Pasar Seni, Maluri, Tun Razak Exchange, Merdeka dan Muzium Negara,” katanya.
Sementara itu, kaunter kad konsesi MyRapid di stesen LRT Pasar Seni juga ditutup.
“Stesen yang tidak terlibat akan beroperasi seperti biasa. Sila rancang perjalanan anda,” katanya.