Berita Utama

Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 perlu diteruskan PM baharu

Sejak sekian lama Bumiputera tiada ‘blueprint’ pembangunan ekonomi terancang

BANGI, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Perdana Menteri baharu diminta segera menyatakan komitmen untuk meneruskan agenda Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang sudah memasuki fasa akhir pembangunannya sebelum dilancarkan tahun ini.

Ini kerana, sejak sekian lama, Bumiputera tidak mempunyai pelan tindakan atau blueprint pembangunan ekonomi lebih terancang dan berstruktur yang dapat dijadikan dokumen utama kepada apa jua pembentukan dasar, polisi, perancangan ekonomi mahupun belanjawan. 

Menegaskan perkara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu), Abdul Halim Husin berkata, TPB2030 adalah jawapan kepada permasalahan tersebut.

“Jurang ekonomi serta kekayaan antara kaum di negara ini masih berada pada tahap yang amat membimbangkan. 

“Selagi pegangan ekonomi berteraskan kaum ini terus dibiarkan membarah, maka selagi itulah matlamat untuk membentuk negara bangsa yang progresif, saksama dan makmur sebagaimana yang dicita-citakan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 tidak akan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan mengenai TPB2030, Abdul Halim berkata, keunikannya terletak pada matlamat yang jelas dan boleh diukur, antara lain menggariskan tujuh Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang mampu dikuasai Bumiputera, serta dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

“Sektor strategik dan bernilai tinggi seperti ekonomi digital, halal hub dan perbankan Islam digital harus digembleng selain daripada sektor tradisi yang akan dipermodenkan seperti pertanian pintar dan logistik,” katanya.

Abdul Halim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan dilantik bersama-sama dengan pasukan Kabinet perlu menyokong TPB2030 terutamanya dalam mendepani situasi ekonomi pasca imuniti kelompok yang bakal dicapai menjelang akhir Oktober ini. 

Tegasnya, kerajaan sudah tidak mempunyai banyak masa untuk merangka semula agenda Bumiputera yang baharu, membentuk makmal-makmal serta menganjurkan kongres-kongres ekonomi dikitar semula. 

“Kita sudah memiliki hasil kajian pelbagai serta data-data yang diperlukan untuk menggerakkan kerja dengan seberapa segera. Kita tidak perlu ‘reinvent the wheel’ lagi.

“TPB2030 yang bersifat dokumen terbuka ini sudah tentu akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi membentuk satu pelan tindakan ekonomi yang benar-benar komprehensif, meliputi setiap sektor ekonomi dan para pemegang taruh Melayu-Bumiputera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button