Zahid Hamidi bersyukur atas pelantikan Ismail Sabri
Presiden UMNO junjung kasih terhadap Agong atas perkenan pelantikan

KUALA LUMPUR, 11 Muharram 1443H, Jumaat – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan rasa syukur ke atas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.
Ahmad Zahid juga menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong atas perkenan pelantikan itu.
“Syukur alhamdulillah, tahniah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setinggi-tinggi penghargaan menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan seluruh Raja-Raja Melayu,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut mengucapkan tahniah kepada Naib Presiden parti itu sejurus selepas pengumuman pelantikannya.
“Tahniah dan alhamdulillah. Semoga Datuk Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri yang berjaya.
“Maka dengan pantas, pastikan perang COVID-19 kita menangi, perbaiki ekonomi rakyat, stabilkan politik, harmonikan masyarakat dan pulihkan negara keseluruhannya
“Moga Allah sentiasa membantu beliau dan Kabinetnya,” katanya.