Berita Utama

Kerajaan baharu disyor had jumlah kementerian kawal perbelanjaan negara

Seimbang nisbah menteri antara pemimpin politik, golongan profesional

BANGI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyarankan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadkan jumlah kementerian sebagai usaha awal mengawal perbelanjaan negara.

Dalam keadaan ekonomi dilanda krisis akibat pandemik COVID-19, mana-mana portfolio yang berkaitan disyorkan supaya digabungkan di bawah satu kementerian sahaja.

Malah, nisbah menteri yang dilantik juga hendaklah seimbang antara pemimpin politik dengan golongan profesional bagi menjamin kecekapan dan keberkesanan kepimpinan negara, kata Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat MPM, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

“Keutamaan perbelanjaan negara hendaklah ditumpukan kepada usaha mengatasi wabak COVID-19 dan kesannya dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan.

“Inisiatif dan pelan pemulihan yang telah dirancang oleh kerajaan dahulu perlu dilaksanakan dengan mengurangkan karenah birokrasi dan tidak terjejas oleh ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakadilan kerana faktor seperti kelainan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Prof Awang berkata, kerajaan baharu bukan sahaja mesti bersih, malah perlu dilihat bebas daripada salah guna kuasa, rasuah dan diskriminasi berasaskan fahaman politik, kaum serta faktor lain.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu ‘memerdekakan’ negara daripada rasuah, salah guna kuasa, nepotisme dan favoritisme.

“Mana-mana individu yang terlibat dengan kerja-kerja fasad yang disebut itu tidak boleh sekali-kali diberi ruang dalam kepimpinan negara, negeri dan institusi yang ada kepentingan negara.

“Demikian juga halnya dengan sesiapa yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan wajib memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, demi memastikan dasar-dasar utama negara terus utuh.

“Antara pancang kenegaraan yang utama termasuklah kedudukan Raja-Raja, agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain.

“Kerajaan baharu hendaklah benar-benar memastikan pemisahan tiga juzuk penting negara, iaitu penggubal undang-undang eksekutif dan kehakiman kerana salah satu punca tidak berkesannya pelaksanaan dasar dan undang-undang negara ialah pertelingkahan dan campur tangan antara ketiga-tiga entiti yang sepatutnya saling melengkapi dan memperkukuh perjalanan pentadbiran negara,” katanya.

Semalam, Malaysia secara rasmi mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada Isnin.

Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di Istana Negara petang ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button