BERJASA harap PM baharu fokus bawa negara keluar dari pandemik COVID-19
Henti budaya lantik jawatan penting Kabinet untuk tujuan balas budi

BANGI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengharapkan agar kemelut politik yang sedang berlaku dapat diredakan selepas pelantikan Perdana Menteri baharu, dengan semua Ahli Parlimen mengawal diri daripada sifat rakus, tamak serta saling cuba menjatuhkan antara satu sama lain.
Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, kerjasama sepenuhnya perlu diberikan supaya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan sebaik mungkin.
Paling utama, kata beliau, adalah seluruh rakyat dan pemimpin parti politik melihat keputusan ini dengan dada yang lapang dan menerima ketentuan Allah SWT.
“BERJASA menyedari bahawa keadaan politik negara sekarang tidak stabil. Sudah pasti kepimpinan datuk seri akan berhadapan dengan cabaran yang amat berat untuk melaksanakan tugasnya itu.
“Namun, sebagai Perdana Menteri, datuk seri perlu mempunyai keberanian dan kebijaksanaan serta sentiasa memberikan keutamaan kepada kepentingan agama, rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, BERJASA menggesa Ismail Sabri memberikan fokus kepada beberapa perkara terutamanya membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Bera itu perlu memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan dan ditambah baik.
“Rakyat yang tertekan dan terhimpit akibat pandemik COVID-19 perlu dibantu. Isu rakyat yang dibuang kerja dan tidak mempunyai pendapatan tetap, mesti menjadi keutamaan datuk seri,” katanya.
Bukan itu sahaja, Ustaz Zamani berharap, pelantikan barisan Kabinet mestilah berasaskan kepada keperluan negara dan kewibawaan, bukan berdasarkan kepada keperluan parti atau membalas budi Ahli-ahli Parlimen yang menyokong.
Usaha ini mampu menjimatkan kewangan negara serta dapat membantu rakyat yang sedang berada dalam tempoh sukar, tegasnya.
“Tindakan melantik ahli-ahli politik untuk menerajui Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) hendaklah dihentikan. GLC mestilah ditadbir oleh individu yang mempunyai kepakaran tahap tinggi dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Selain itu, melantik Ahli Parlimen untuk tujuan membalas budi, Ahli Parlimen yang tidak boleh melaksanakan tugas dengan baik, Ahli Parlimen kluster mahkamah serta Ahli Parlimen yang tidak mempunyai integriti bagi memegang jawatan penting juga hendaklah dihentikan.
“Ketahuilah, apa yang rakyat mahukan ialah nasib mereka terbela dan suara rintihan mereka didengari,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mesti mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera untuk memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera kerana mereka adalah bangsa asal Malaysia.
“Kematian Adib mestilah mendapat pembelaan sewajarnya kerana Allahyarham adalah lambang keberanian dan ketinggian maruah penjawat awam,” katanya.
Selain itu, katanya, kerjasama antara parti-parti Melayu dan Islam mestilah diperluaskan, bukan hanya di kalangan parti UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS sahaja.
“Datuk seri mesti memperbaiki sistem politik negara dan seterusnya membina hala tuju politik negara yang baharu.
“BERJASA mendoakan semoga Allah memberikan kekuatan, keberanian dan kebijaksanaan kepada datuk seri untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
“Ingatlah, jawatan itu adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan di hari akhirat nanti. BERJASA mengharapkan agar datuk seri sentiasa bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya dalam melaksanakan tugas mentadbir negara,” katanya.