Berita Utama

Ismail Sabri junjung kasih kepada Agong atas pelantikan

Akan membuat kenyataan rasmi kepada rakyat Malaysia esok

PETALING JAYA, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan baginda melantiknya sebagai perdana menteri kesembilan.

Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan kepada semua pemimpin parti politik termasuk Ahli Parlimen bebas yang menyokongnya untuk memimpin negara.

“Saya syukur kepada Allah dan izin-Nya, saya dilantik sebagai perdana menteri…

“Ucapan terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk bebas dan ketua-ketua parti politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar pekarangan kediamannya di sini, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu juga merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan majlis tertinggi parti itu atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Sementara itu, beliau juga memaklumkan akan membuat kenyataan rasmi kepada rakyat Malaysia esok susulan pelantikannya sebagai pemimpin nombor satu negara.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada pukul 2.28 petang ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lepas setelah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button