Berita Utama

Lantik barisan Kabinet cabaran pertama Ismail Sabri

Tersalah pilih pemimpin berskandal, pasti diguna jadi modal pada PRU15

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Cabaran pertama Datuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu negara adalah melantik barisan Kabinetnya.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, jika terdapat antara barisan Kabinet yang mempunyai ‘sejarah’ atau pernah dikaitkan dengan sesuatu skandal, maka pasti isu ini akan menjadi modal untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. 

Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) antaranya disebabkan isu pemimpin BN yang dikaitkan dengan pelbagai skandal.

“Rakyat mahukan kerajaan yang memimpin bebas daripada sebarang isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai lagi isu yang boleh meruntuhkan akhlak sesuatu masyarakat itu.

“Benar, seseorang itu didapati tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Namun, secara umum, peraturan ini hanya relevan di mahkamah dan bukan dalam kalangan rakyat yang akan menjatuhkan hukuman pada mana-mana pemimpin yang pernah dikaitkan dengan apa juga skandal.

“Apatah lagi peranan media sosial hari ini begitu luas dan sukar dibendung dan akan dihakimi netizen yang begitu cepat menjalankan peranan sebagai seorang hakim yang terus menjatuhkan hukuman,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, barisan Kabinet yang kukuh bukan sahaja dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia, tetapi juga menggerakkan semula jentera pentadbiran supaya lebih cekap dan fokus dalam menangani pelbagai isu khasnya berkaitan ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

“Dunia luar memandang apa yang Malaysia bakal lakukan dan ini pastinya akan memberikan kesan kepada keyakinan pelabur asing.

“Rakyat ingin melihat bagaimana permuafakatan antara parti yang terbabit ini bergabung. Jika terdapat sebarang rasa tidak puas hati dalam kalangan parti yang terbabit, pasti ini akan menggugat semula keyakinan rakyat,” kata Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu.

Dalam hal seperti ini, Shabudin berkata, Ismail Sabri perlu mendapatkan persetujuan sebulat suara tanpa berbelah bahagi untuk menubuhkan sebuah kepemimpinan kerajaan stabil dalam kalangan ahli politik yang terdiri pelbagai latar belakang.

“Seperti dimahukan rakyat, kepentingan rakyat sewajibnya diletakkan pada unjuran paling atas dan tidak ada kompromi dalam hal ini.

“Jika perkara ini dapat dilaksanakan dengan baik, maka secara perlahan-lahan usaha ini akan dapat menyemai semula rasa keyakinan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button