Pendapat

Lantikan Perdana Menteri adalah taklif bukan satu keistimewaan

Wajib pertahan pancang kenegaraan termaktub dalam Perlembagaan

1. SEBAGAI susulan pelantikan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob oleh Yang di-Pertuan Agong, Majlis Perundingan Melayu mengucapkan tahniah kepada beliau. Pelantikan itu perlu disedari sebagai tanggungjawab atau taklif kepada negara, bukan kuasa dan keistimewaan.

2. Kerajaan baharu yang ditubuhkan hendaklah bermula dengan usaha berhemat dalam perbelanjaan negara, terutama dalam keadaan ekonomi dilanda krisis besar sebagai akibat wabak COVID-19. Antara langkah berhemat termasuklah mengehadkan jumlah kementerian yang ditubuhkan atau menyatukan mana-mana bidang yang berkaitan dalam sebuah kementerian sahaja. Nisbah menteri yang dilantik hendaklah seimbang antara pemimpin politik dengan golongan profesional untuk menjamin kecekapan dan keberkesanan kepemimpinan negara.

3. Keutamaan perbelanjaan negara hendaklah ditumpukan kepada usaha mengatasi wabak COVID-19 dan kesannya dalam bidang kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan. Inisiatif dan pelan pemulihan yang telah dirancang oleh kerajaan dahulu perlu dilaksanakan dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan tidak terjejas oleh ketirisan, salah guna kuasa dan ketidakadilan kerana faktor seperti kelainan fahaman politik.

4. Kerajaan baharu ini bukan sahaja mesti bersih, tetapi mesti kelihatan bersih daripada salah guna kuasa, rasuah, ekonomi hitam, diskriminasi berasaskan faham politik, kaum dan faktor lain. Bersempena dengan sambutan kemerdekaan pada tahun ini, penubuhan kerajaan baharu dalam bulan kemerdekaan ini hendaklah mengisytiharkan kemerdekaan negara daripada rasuah, salah guna kuasa, nepotisme dan favoritisme. Mana-mana individu yang terlibat dengan kerja-kerja fasad yang disebut itu tidak boleh sekali-kali diberi ruang dalam kepemimpinan negara, negeri dan institusi yang ada kepentingan negara. Demikian juga halnya dengan sesiapa yang masih dalam proses perbicaraan di mahkamah.

5. Untuk memastikan agar dasar-dasar utama negara terus utuh, Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan pancang-pancang kenegaraan wajib dipelihara dan dipertahankan. Antara pancang kenegaraan yang utama termasuklah kedudukan raja-raja, agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak sah kaum-kaum lain.

6. Kerajaan baharu hendaklah benar-benar memastikan pemisahan tiga juzuk penting negara, iaitu penggubal undang-undang, eksekutif dan kehakiman kerana salah satu punca tidak berkesannya pelaksanaan dasar dan undang-undang negara ialah pertelingkahan dan campur tangan antara ketiga-tiga entiti yang sepatutnya saling melengkapi dan memperkukuh perjalanan pentadbiran negara.

Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan
Pengerusi Gerakan Jihad Rakyat Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button