Berita Utama

PN percaya pelantikan Ismail Sabri dapat henti kemelut politik

Semua MP Bersatu, PAS, STAR berdiri teguh bersama Perdana Menteri ke-9

BANGI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Perikatan Nasional (PN) percaya bahawa pelantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan itu juga dapat menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutamanya dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua Ahli Parlimen PN dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS dan STAR berdiri teguh bersama Ismail Sabri serta yakin pelantikannya dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan dan iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segera.

“PN menjunjung kasih atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri ke-9 seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, PN turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan istiqomah.

“Semua program bantuan rakyat, pakej rangsangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara,” katanya.

Semalam, Malaysia secara rasmi mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9, menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada Isnin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button