Shanghai asing 120 individu dipercayai kontak rapat pekerja kargo
China tak klasifikasi individu tanpa gejala sebagai kes jangkitan disahkan

SHANGHAI, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa Shanghai terpaksa mengasingkan kira-kira 120 individu bagi mengawal penularan wabak COVID-19, selepas mengesan kes jangkitan membabitkan pekerja kargo di lapangan terbang.
Semua individu yang dikuarantin disenaraikan sebagai kontak rapat daripada lima pekerja di Lapangan Terbang Pudong yang disahkan positif COVID-19, sementara ratusan lagi dianggap kontak sekunder.
Difahamkan, dua daripada pekerja kargo – membabitkan warga China dan Ethiopia – adalah antara empat kes tempatan yang disahkan dalam 20 kes jangkitan baharu di China pada 20 Ogos.
Dua lagi kes tempatan dikesan di wilayah Jiangsu dan Hubei.
Suruhanjaya Kesihatan Nasional berkata, angka jangkitan turun berbanding 33 hari sebelumnya, dengan kes tempatan kekal empat.
Pegawai Shanghai berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga pekerja kargo lain di Lapangan Terbang Pudong sebagai kes yang disahkan positif.
China turut melaporkan 20 kes jangkitan tanpa gejala pada 20 Ogos, di mana semuanya merupakan kes import.
Bagaimanapun, negara itu tidak mengklasifikasi kes asimptomatik sebagai jangkitan yang disahkan. – Agensi