Berita Utama

Tanam 2,000 pokok hutan di bekas kebun Musang King

Pokok ditanam seperti Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Beruas dan Sentul

RAUB, 12 Muharram 1443H, Sabtu – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam 2,000 batang pokok hutan dan buah pelbagai spesies di kawasan seluas lebih 8 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di sini, yang dahulunya diceroboh untuk dijadikan kebun Musang King secara haram.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP Datuk Samsu Anuar Nawi berkata antara pokok itu ialah Meranti Temak Nipis, Merawan Siput Jantan, Beruas dan Sentul yang ditanam dengan bantuan lebih 130 sukarelawan daripada 23 badan bukan kerajaan (NGO).

Program itu merupakan sebahagian daripada Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ Pahang, yang bertujuan menghijaukan semula kawasan terosot di negeri ini.

“Untuk hari ini, kawasan penanaman dibahagikan kepada 38 lot dengan setiap NGO akan bertindak sebagai ‘ibu atau bapa angkat’ kepada pokok yang ditanam dan mereka boleh kembali ke sini pada masa hadapan untuk melihat perkembangan tanaman mereka.

“Selain HSK Batu Talam, program seperti ini akan diteruskan di beberapa kawasan lain yang memerlukan proses pemulihan dan pemeliharaan seperti di Tasik Chini dan pesisir pantai di daerah Pekan yang berdepan masalah hakisan,” katanya kepada pemberita selepas program itu di sini hari ini.
a
Lebih 70 kakitangan JPNP turut terlibat dalam program itu dengan kawasan terlibat ialah sebahagian daripada lokasi operasi membanteras penerokaan haram di HSK Batu Talam oleh JPNP dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan pada awal Julai lepas.

Samsu Anuar berkata pihaknya mengalu-alukan lebih banyak NGO untuk turut serta menyokong usaha JPNP dengan melibatkan diri dalam pelbagai program pemulihan yang dijadual berlangsung di Pahang.

Sementara itu, pesara kerajaan P. Kanjanahmalar, 65, yang tinggal di Air Putih, Kuantan menyifatkan penglibatannya bersama enam ahli Persatuan Pencinta Alam Sekitar (MNS) Pahang pada program itu sebagai ‘peninggalan mereka kepada generasi akan datang’.

“Kita tahu hutan penting untuk mengelak bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh terutamanya di kawasan berbukit seperti di HSK Batu Talam…tidak banyak yang saya boleh tinggalkan untuk anak cucu melainkan sumbangkan tenaga dalam program seperti ini.

“Harapnya pokok yang ditanam akan hidup dan hutan simpan akan kembali seperti sedia ada. Semoga pihak terlibat boleh membantu menjaga pokok-pokok ini sementara menunggu kehadiran kami pada masa akan datang,” katanya.

Turut mengambil bahagian ialah tujuh ahli Majlis Pengakap Kelana Negeri Pahang dengan Pengerusinya Asmawi Sulaiman berkata mereka bertolak dari Kuantan sejak malam tadi, memandangkan peserta program diminta hadir awal pagi bagi sesi taklimat sebelum program bermula.

“Sukar juga untuk ke lokasi terlibat kerana ia hanya boleh dilalui dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum kami perlu mendaki dengan membawa alatan yang diperlukan serta anak pokok di tapak yang sudah ditandakan.

“Lebih mencabar apabila tapak itu terletak di kawasan cerun dan keadaan licin kerana difahamkan cuaca hujan seharian semalam. Bagaimanapun, ini hanya cabaran kecil kepada kami dalam menyokong usaha kerajaan negeri menerusi JPNP menanam semula hutan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button