Berita Utama

21 petugas kesihatan Hospital Sultanah Aminah positif COVID-19

Satu kluster dikesan di Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 20 Ogos

JOHOR BAHRU, 13 Muharram 1443H, Ahad – Sebanyak 21 petugas kesihatan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) telah disahkan positif COVID-19, kata Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Beliau memaklumkan, satu kluster telah dikesan di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital pada hari Jumaat (20 Ogos).

“Pemeriksaan dan pengesanan kontak rapat dilakukan dan sebanyak 21 kes COVID-19 dikesan melibatkan petugas kesihatan.

“Pihak pengurusan hospital telah mengambil tindakan segera untuk mencegah dan mengawal penyebaran penyakit di fasiliti tersebut.

“Antara langkah yang diambil termasuk mengenal pasti tempat kerja, rumah dan hubungan sosial yang rapat serta mengambil calitan tekak kontak rapat.

“Individu yang terlibat menerima rawatan, dikuarantin dan dipantau berdasarkan kategori pesakit dan hubungan rapat,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook HSA.

Dr Mohtar berkata, kerja-kerja sanitasi dan nyahkuman telah dilakukan di semua lokasi yang terlibat termasuk kawalan infeksi, dan pengoperasian Jabatan Kecemasan dan Trauma tidak akan terjejas.

“Unit Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Persekitaran akan terus memantau keadaan, termasuk keadaan pesakit yang terlibat,” katanya, sambil memaklumkan bahawa kawalan infrksi juga akan dipantau dengan lebih teliti.

Selain itu, Dr Mohtar juga meminta orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu walaupun mereka telah divaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button