Berita Utama

Had aktiviti luar elak terdedah cuaca panas, jerebu

Minum air kosong sekurangnya 8 gelas sehari kekal hidrasi badan

BANGI, 28 Ramadan 1444H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat atau mengalami cuaca panas supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, negara kini sedang dilanda cuaca panas yang memberi kesan kepada kualiti udara dan suhu ambien di beberapa kawasan.

Bahkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) turut melaporkan berlaku kemerosotan kualiti udara dengan keadaan berjerebu di beberapa kawasan, termasuk di Johan Setia serta Kota Bharu, katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal atau masa berada di luar bangunan, bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu kerana boleh meningkatkan risiko penyakit.

“Gunakan pelitup muka yang sesuai jika jerebu dan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.

“Tutup tingkap bagi mengurangkan partikel jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan dan elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya dalam  kenyataan pada Rabu.

Dr Zaliha turut menasihatkan supaya memperbanyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, meskipun tidak terasa dahaga bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

Beliau juga menyarankan untuk kerapkan mandi dan elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat serta berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

“Gunakan penyaman udara dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

“Gunakan alat penyaman udara dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar (jika berkemampuan).

“Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button