Berita Utama

Bencana Yan: I-Medik kunjung rumah ke rumah periksa keadaan penduduk terkesan

Sukarelawan amal langkah berjaga-jaga, lakukan saringan COVID-19 sebelum sertai misi

YAN, 13 Muharram 1443H, Ahad – Ikatan Pertubuhan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) kini berkunjung dari rumah ke rumah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat disebabkan hujan lebat dan kepala air di Yan, Kedah baru-baru ini. 

Menerusi Misi Bantuan Bencana Banjir Yan bersama Yayasan Ikhlas, Presiden I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob berkata, pihaknya bersama beberapa doktor lain memeriksa dan membekalkan ubat-ubatan untuk penyakit ringan kepada penduduk. 

“Kita juga akan melihat mana-mana keluarga yang dijangkiti COVID-19, dan sekiranya mereka mempunyai simptom-simptom, kita akan nasihatkan mereka untuk pergi ke klinik berdekatan,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai langakah berjaga-jaga semua sukarelawan misi ini telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum bergerak ke Kedah. 

Katanya, ujian tersebut melibatkan 150 petugas bagi memastikan mereka yang terlibat dalam program pembersihan tidak membawa virus mahupun menjangkiti penduduk di kawasan banjir.

Prof Azizi berkata, para petugas juga akan menjalani saringan akhir sebelum pulang ke tempat masing-masing selepas misi diselesaikan.

“Kita sedar lebih 30-40 penduduk di kawasan sekitar telah disahkan positif. Oleh kerana itu, kita mengambil satu pendekatan mewajibkan sukarelawan yang datang untuk kesemuanya membuat saringan. 

“Ini untuk memastikan tiada jangkitan berlaku daripada pesakit di sekitar sini terhadap sukarelawan terlibat dan begitu juga sebaliknya. 

“Kita sangat prihatin dan mengambil berat kepada dua-dua pihak kerana jangkitan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan,” katanya dalam temubual secara langsung di TV Pertiwi.

Misi bantuan ini adalah dengan kerjasama Yayasan Ikhlas, Relawan Muda ISMA, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan Skuad 4WD.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai untuk menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa banjir di Yan.

“Orang ramai boleh terus pergi ke akaun i-Medik atau pun Yayasan Ikhlas untuk memberi sumbangan, dan untuk kami sumbangkan semula kepada mereka yang terkesan di kawasan banjir Yan ini,” katanya.

Sumbangan Misi Bantuan Bencana Banjir Yan, Kedah boleh disalurkan ke Akaun Yayasan Ikhlas Maybank: 5628 3463 6228 dengan rujukan: BanjirYan atau klik pautan www.billplz.com/TabungBencanaYI

Terdahulu, 300 pek bantuan makanan beserta wang tunai disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Yan, Kedah. 

Sukarelawan juga telah membantu membersihkan rumah-rumah di sekitar kawasan terjejas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button